USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENDIDIKAN AWAL MAMPU TANGANI KES KERACUNAN

GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 5 Mac 2015 - Pendidikan awal kepada pengguna terhadap bahan beracun mampu menangani kes keracunan yang mengakibatkan kecederaan atau kematian.Kematian  dan kecederaan yang berlaku akibat keracunan seringkali dikaitkan dengan penggunaan bahan ubat-ubatan yang tidak mengikut dos yang dibenarkan serta pengendalian dan penyimpanan bahan yang tidak mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan.

Kejadian mampu dibendung jika pengguna lebih prihatin dan berusaha memahami risiko sesuatu bahan.

Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (BHEPA), Prof. Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, atas sebab itulah peranan ahli farmasi amat penting dalam menyalurkan ilmu dan pengetahuan kepada pengguna agar tahu mencegah dan menguruskan bahan-bahan beracun seperti yang ditetapkan.

"Semua maklumat amat penting untuk disampaikan kepada pesakit atau pengguna supaya masyarakat lebih berwaspada dan mengambil langkah berkesan mencegah kejadian keracunan".Beliau ditemui ketika mewakili Naib Canselor merasmikan 1st National Symposium on Poisoning di Hotel St. Giles Wembley di sini pagi ini.

Tambahnya peranan ahli farmasi dalam hal ini sewajarnya tidak boleh dipandang ringan kerana  kefahaman mengenai isu keracunan cukup berharga buat pengguna dan ia melibatkan isu kesihatan awam global.

Turut hadir Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Datuk Nancy Ho; Pengarah Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Madya Razak Lajis dan Pengerusi Persatuan Farmasi Malaysia Pulau Pinang, Bharati Suresh Chand.

Selain itu, Shukri berharap simposium ini membuka peluang kepada semua peserta terutamanya profesional kesihatan, paramedik dan ahli farmasi untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai isu keracunan, kesannya dan rawatan pencegahan.

Selain itu Razak Lajis berkata sehingga kini Pusat Racun Negara USM telah menyediakan penasihat profesional dan konsultansi kepada hospital dan masyarakat awam mengenai pengurusan bahan beracun.

"Kita telah menguruskan sejumlah 45,000 kes dan secara purata 4,000 kes setahun membabitkan keracunan.

Tambahnya purata sehari lebih dari 30 rujukan kes dari pihak hospital untuk dilihat dan dikaji oleh Pusat Racun Negara yang melibatkan kes keracunan kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Sejumlah 180 ahli farmasi profesional tempatan berkumpul di simposium selama dua hari ini bagi berkongsi kepakaran termasuk membincangkan isu keracunan dan pencegahan serta pengurusan keracunan.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 863

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024