KUNJUNGAN WAKIL KERAJAAN JERMAN BUKA PELUANG KERJASAMA
GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 4 Mac 2016 – Kunjungan kedua-dua wakil Deutscher Akademischer Austausch Dienst (DAAD) atau German Academic Exchange Service dan Kedutaan Jerman di Malaysia ke Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini membuka beberapa peluang kerjasama dalam pengajian, pembelajaran dan penyelidikan antara USM dengan Universiti di Jerman.
Pengarah Pusat Keantarabangsaan Mobiliti dan Kerjaya (PKMK), Dr. Muhizam Mustafa berkata, bilangan pelajar Jerman di USM semakin meningkat dari tahun ke tahun dan ini menunjukkan kolaborasi dan kerjasama yang terjalin antara USM dan universiti-universiti di Jerman semakin berkembang.
“Pelajar kini kurang didedahkan dengan situasi kerja sebenar dan kolaborasi yang ada pada hari ini mungkin boleh membincangkan peluang pelajar USM bagi mengikuti latihan industri di syarikat di Jerman mahupun di Malaysia,” kata Muhizam.
“Saya dan seluruh warga DAAD sudah tentu akan menyokong pendekatan kerjasama antara USM dengan negara Jerman ini dan diharapkan ia dapat meningkatkan dan memperhebatkan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara,” kata Pengarah DAAD, Dr. Guido Schnieders.
Ketua Kebudayaan dan Media Kedutaan Jerman di Malaysia, Carsten Fischer pula berkata, pada April ini, sekumpulan wakil dari Jerman akan mengadakan lawatan ke Malaysia dan USM akan turut dijemput untuk membincangkan hala tuju kerjasama yang akan dijalinkan.
Turut hadir membincangkan peluang kerjasama dan kolaborasi antara kedua-dua buah universiti tersebut ialah Penolong Pendaftar PKMK, Eliza Yasmin Dahlan.
Statistik menunjukkan pelajar dari Jerman yang masuk ke USM adalah 17 orang pada tahun 2013, 38 orang tahun 2014 dan 40 orang tahun 2015. Manakala wakil pelajar dari USM yang telah ke Jerman adalah 4 orang pada tahun 2013, 13 orang tahun 2014 dan 5 orang tahun 2015.
Teks: Nur Qutreen Nada Mahamud (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 683