PERPADUAN KAUM JADI INSPIRASI HASIL VIDEO
GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 3 Mac 2016 - Pengalaman melihat hubungan akrab pelbagai kaum di kedai runcit datuk menjadi inspirasi kepada pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) menghasilkan video yang diiktiraf sebagai terbaik dalam Yeo’s I Love Malaysia baru-baru ini.
Video berdurasi satu minit yang bertajuk ‘Xie Xie’ atau Terima Kasih itu membolehkan tiga orang pelajar Teh Chun Yen, serta dua rakannya, Lim Han Loong dan Kelvin Tan membawa pulang wang tunai RM25,000 serta barangan keluaran Yeo's Malaysia.
Menurut Teh Chun Yen, video ini dihasilkan hasil pemerhatian di kedai runcit datuknya yang diwarisi ayahnya di kampung dengan melihat hubungan yang baik antara pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum.
"Pada setiap musim perayaan kami akan bertukar makanan dan juga hadiah antara satu sama lain.
“Hubungan yang terjalin bukan lagi di antara peniaga dengan pelanggan tetapi lebih dari itu yang memupuk hubungan akrab dan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum terutamanya Cina, India dan Melayu,” jelasnya.
Tambahnya, kejayaan ini sangat bermakna kepada mereka bertiga yang memberikan motivasi untuk terus berkarya dan menghasilkan penerbitan yang lebih pada masa hadapan.
"Kami berterima kasih kepada pensyarah dan rakan-rakan yang memberi sokongan kepada kami untuk menghasilkan video ini dan ia akan menjadi batu loncatan untuk kami merancang projek-projek lain pada masa akan datang.
Malah kami bercadang untuk menubuhkan syarikat produksi sendiri selepas menamatkan pengajian dan berupaya membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam bidang ini," katanya lagi.
Mereka berharap dapat berkongsi pengalaman menghasilkan karya seperti ini dengan rakan-rakan di kampus untuk mendorong lebih ramai menghasilkan penerbitan kreatif seperti ini terutamanya dalam kalangan pelajar komunikasi.
Video pendek ini boleh ditonton di https://www.youtube.com/watch?v=h8tEapqBP9M
Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 809