USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLABORASI USM-NUT WUJUDKAN GIGAKU TECHNO PARK

PULAU PINANG, 2 Mac 2016 – Kolaborasi dan kerjasama yang terjalin antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Nagaoka University of Technology (NUT), Jepun sejak tahun 2005 diperkukuhkan lagi dengan wujudnya pejabat USM-NUT Gigaku Techno Park  (USM-NUT GTP) di dalam USM.

“NUT telah berjaya mewujudkan NUT GTP di empat buah negara iaitu di Mexico, Sepanyol, Vietnam dan Thailand dan USM-NUT GTP  ini adalah yang kelima dan Malaysia di pilih kerana berada di tengah-tengah antara semua negara di Asia Tenggara,” kata Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Ryuji Noda.

“Saya juga berharap lebih banyak syarikat dan industri Jepun di Malaysia dan  Jepun akan bekerjasama untuk mempromosikan pengajian akademik dan juga penyelidikan di peringkat antarabangsa,” tambah Rhuji di majlis perasmian USM-NUT GTP di Bangunan Toray-USM Knowledge Transfer Centre di sini hari ini.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman USM dan NUT akan terus berkolaborasi bersama dalam meningkatkan penyelidikan dalam pelbagai bidang terutama Kejuruteraan dan juga Sains.

“Di USM, pelajar Jepun adalah antara yang ramai pelajar asing yang terlibat dalam program pertukaran dalam tempoh beberapa tahun yang lalu dan USM-NUT GTP ini dapat menjadi pusat sehenti untuk meningkatkan lagi kerjasama di antara USM dan NUT,” kata Omar.

Presiden NUT, Dr Nobuhiko Azuma pula berkata USM-NUT GTP ini akan menjadi sebuah hub untuk penyelidikan bagi akademia dan juga industri yang berminat untuk bekerjasama dengan kedua-dua buah institusi yang ternama di dalam bidang masing-masing. 

“Saya berharap dengan rasminya USM-NUT GTP ini maka jaringan antarabangsa antara USM dan NUT akan terus berkembang di samping USM dapat bersama-sama berhubungan dengan pihak yang telah lama bersama kami di NUT,” tambah Azuma.

Pada majlis yang sama, USM juga telah menandatangani dua Memorandum Perjanjian (MoA) dengan NUT iaitu melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral bagi kolaborasi dalam bidang pengajian dan penyelidikan serta pertukaran pelajar dan melalui Pejabat Naib Canselor mengenai perkongsian USM-NUT GTP.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Toray Industries  (Malaysia), Yoshimura Hiroshi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey dan juga wakil-wakil syarikat dan industri Jepun di Malaysia.

Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto:Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 935

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024