USM DAN IUNCBD JALIN KERJASAMA KAJIAN BIODIVERSITI
GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 1 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) mengadakan rundingan dengan International University Network on Cultural and Biological Diversity (IUNCBD) untuk menjalankan kajian biodiversiti dan budaya di Malaysia.
Koordinator IUNCBD, Profesor Pierluigi Bozzi berkata, pihaknya komited menyumbang kepakaran dan pengalaman dalam membantu Malaysia dalam bidang pemeliharaan biodiversiti.
Profesor Pierluigi Bozzi dalam rangka kunjungan ke USM dan menemui para pensyarah dan penyelidik di Pusat Pengajian Sains Kajihayat dan CEMACS.
Jelasnya lagi, kepakaran IUNCBD dalam bidang biodiversiti dan budaya juga boleh dikongsi bersama-sama pakar daripada USM untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat setempat dan membantu memajukan sosio ekonomi mereka.
Profesor Pierluigi Bozzi turut mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman membincangkan peluang kerjasama dengan USM termasuk melalui Program Pemindahan Ilmu terutamanya kepada nelayan di Pulau Pinang.
Omar berkata, USM sentiasa berusaha meningkatkan kolaborasi di peringkat antarabangsa melalui kepakaran yang ada terutamanya dalam bidang penyelidikan yang berpotensi membantu masyarakat termasuk kerjasama yang ditawarkan oleh IUNCBD disambut baik oleh USM.
Pengarah CEMACS, Profesor Dr. Ahmad Sofiman Othman juga menyambut baik hasrat IUNCBD menjalinkan kerjasama tersebut dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan biodiversiti.
Yang hadir sama dalam pertemuan tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Balakrishnan Abdullah.
Teks: Syuhada Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 887