USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIMBALAN MENTERI MOSTI HADIR SYARAHAN PELANTIKAN PROFESOR MATEMATIK USM

GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 2 Mac 2016 – Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan isteri, Datin Wan Faridah Wan Yaakob menghadiri Syarahan Umum Pelantikan Profesor Pusat Pengajian Sains Matematik di sini baru-baru ini.

Bekas pensyarah Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM) itu menghadiri syarahan yang dipersembahkan oleh Profesor Dr. Zarita Zainuddin dan Profesor Dr. Abd Rahni Mt Piah.

Dr. Zarita telah mengupas topik ‘Rangkaian Neural: Antara Mitos dan Realiti’ yang diinspirasikan daripada neuron dalam otak manusia yang mempunyai struktur dalaman dan elemen pemprosesan meniru beberapa ciri sistem saraf biologi yang berada di dalam tubuh badan manusia.

“Rangkaian Neural ialah satu proses teragih yang selari dengan mesej yang mempunyai kecenderungan semula jadi untuk menyimpan pengetahuan yang diperolehi daripada pengalaman dan menyediakannya untuk kegunaan masa depan.

“Pengetahuan yang diperolehi daripada proses pembelajaran adalah sama seperti otak manusia yang memperolehi pengetahuan melalui satu proses pembelajaran,” jelas  Dr. Zarita

Mitos yang cuba dirungkai mengenairangkaian neural ini ialah model otak manusia, lebih banyak neuron maka lebih baik pembelajarannya, rangkaian neuron boleh dilatih untuk sebarang data dan ianya adalah kotak hitam.

Tambah Zarita lagi, hasil kajian ini telah membantu mengesan sel kanser yang menjadi pembunuh utama masa kini dengan lebih cepat dan jitu serta mengatasi masalah kesesakan jemaah haji ketika tawaf.

Dr. Abd Rahni yang juga felo dan ahli seumur hidup Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) membentangkan Reka Bentuk Geometri Berbantukan Komputer (RGBK): Mencari Fungsi, Mereka dan Mengekal Bentuk.

Syarahan beliau menghuraikan sesuatu objek geometri dengan menggunakan kaedah matematik dan pengiraan. RGBK juga digunakan dalam bidang reka bentuk berbantukan komputer dan juga digunakan untuk merujuk kajian lengkung dan sebarang bentuk permukaan yang bebas.

“RGBK ini juga memfokuskan kajian untuk mencari fungsi splin matematik dan cara untuk mereka serta mengekalkan bentuk permukaan secara geometri.

“Menggunakan kaedah splin matematik yang diperkenalkan oleh Schoenberg (1971), kajian ini membolehkan seorang pendraf yang tidak mempunyai sebarang latihan matematik mampu mereka bentuk sesuatu permukaan, contohnya untuk mentafsir permukaan yang ada di dalam pesawat udara,” kata Dr. Abd. Rahni.

Yang turut hadir ialah pakar Sains Matematik dan juga merupakan Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritius Dato’ Dr. Hassan Said, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan dan isteri, Profesor Madya Datin Suraiya Kassim, Ahli Gabenor USM, Profesor Dato’ Dr. Morshidi Sirat, Penolong Naib Canselor USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Kamil Mahmood dan Dekan Pusat Pengajian Sains Matematik USM, Profesor Dr. Hailiza Kamarulhaili.

Teks: Aishah Hanis Azmi, Nur Izzah’ Atirah’ Muhamad Nazmi dan Nor Khamisah Saidin (Pelajar internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 1268

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024