MEMAHAMI ISU TRANSGENDER
GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 2 Mac 2016 – Dalam usaha memberikan kefahaman tentang pelbagai isu yang berkaitan dengan transgender, baru-baru ini Kelab Kerja Sosial, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan forum bertajuk 'A Look Into the Future'.
Pengarah projek, Nasriah Jamaludin berkata forum ini adalah untuk mendidik masyarakat terutamanya komuniti kampus terhadap isu transgender dalam konteks ilmiah agar lebih difahami dan membantu mereka yang terlibat.
Tiga ahli panel yang turut dijemput di dalam program ini ialah aktivis Lesbian, Gay, Bisexual and Transexsual (LGBT), Hezreen Shaik Daud, Pensyarah University Prince of Songkla, Thailand, Dr. Kumarashwaran Vadevelu dan Pensyarah Kerja Sosial USM, Dr. Muhd Fadhil Nurdin.
Golongan ini dikatakan berjumlah lebih kurang 20,000 orang di negara ini dengan kira-kira 5,000 orang terdedah sebagai pekerja seks.
"Saya sedar penerimaan masyarakat agak sukar kerana pembentukan sosial yang sedia ada, namun kami hanya meminta untuk diterima dalam kalangan masyarakat dan diberi layanan sama seperti manusia biasa," jelas Hezreen yang lebih 9 tahun terlibat sebagai aktivis sosial dalam bidang ini.
Pensyarah University Prince of Songkla, Thailand, Dr. Kumarashwaran Vadevelu yang merupakan alumni USM menjelaskan, naluri untuk menjadi transgender biasanya bermula seawal enam tahun dengan perubahan setiap individu berbeza-beza melalui beberapa tahap dalam kehidupan mereka.
Tambahnya, masyarakat sering mengandaikan dan menghukum mereka ini sebagai kurang mendapat didikan agama tanpa menyedari bahawa sebenarnya ia bermula daripada naluri seseorang.
"Hasil kajian di Eropah mendapati bahawa golongan transeksual ini mempunyai genetik kromosom yang berlebihan dan sekaligus mempengaruhi naluri golongan tersebut," jelasnya.
Pensyarah Kerja Sosial USM, Dr. Muhd Fadhil Nurdin pula menjelaskan bahawa dari sudut pekerja sosial, seseorang itu perlu berusaha memahami isu yang sangat kompleks ini dari pelbagai perspektif termasuk dari aspek sains dan agama.
“Kita tidak harus menumpukan sepenuhnya kepada aspek genetik semata-mata, tetapi mengambil kira juga pandangan dan perspektif lain," kata Dr. Muhd Fadhil.
Tambahnya lagi, usaha perlu diteruskan melalui pembangunan teori, kaedah pendekatan, strategi dan teknik yang baru diperlukan untuk memahami masalah ini dengan lebih mendalam.
Teks: Aishah Hanis Azmi, Nur Izzah Atira Muhamad Nazmi dan Nor Khamisah Saidin (Pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 2348