NOC DEDAH PELAJAR USM KEPADA KEMAHIRAN MENULIS BERITA DAN RENCANA
GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 2 Mac 2016 – Pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) berpeluang untuk mendalami kebolehan menulis dan melapor berita melalui program ‘Newspaper on Campus’ (NOC) dengan mengadakan beberapa bengkel khas yang akan bermula pada 5 hingga 6 Mac ini.
Siri bengkel ini adalah hasil kolaborasi di antara Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) dan Malaysian Press Institute (MPI) serta beberapa organisasi media tempatan seperti New Straits Times Press (NSTP) dan Sinar Harian.
Menurut Penyelaras Program NOC, Dr. Nik Norma Nik Hassan, lima siri bengkel berbentuk latihan kepada pelajar tahun akhir USM diadakan secara berterusan dengan wakil NSTP dan Sinar Harian serta MPI juga terlibat untuk memberi latihan dan mereka juga berpeluang melawati organisasi media di Kuala Lumpur.
“Hasil latihan daripada pihak berpengalaman ini mampu melahirkan pelajar yang mahir menulis berita dan rencana seiring dengan matlamat program NOC untuk mengasah bakat dan kemahiran dalam diri siswa-siswi USM untuk menulis berita dan rencana,” jelas Nik Norma.
Seramai 60 orang pelajar dipilih mengikuti program ini dan mereka akan menerbitkan USM Press nanti, hasil kerja wartawan kadet yang dijangka akan diterbitkan secara ekslusif sebanyak dua edisi dengan bilangan 2000 naskah setiap edisi yang akan diedarkan secara percuma kepada warga USM.
“USM Press juga akan dicetak dalam saiz tabloid dan mempunyai 16 muka surat yang mengandungi berita dan rencana dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” jelas Nik Norma.
Nik Norma berkata selain daripada mengasah bakat dan kemahiran pelajar dalam penulisan, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran pelajar USM melalui latihan kewartawanan dengan kerjasama organisasi media tempatan dan juga membantu pelajar mendapatkan pekerjaan.
Pengerusi MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya amat berbangga kerana USM berupaya mengadakan program yang membolehkan semua pelajar menyertainya dan seterusnya mempelajari penulisan berita dan juga rencana.
“Organisasi media mempunyai kecenderungan untuk mengambil pelajar yang bukan daripada bidang komunikasi kerana mereka ingin mempelbagaikan jenis berita dan juga rencana di dalam akhbar masing-masing,” jelas Chamil Wariya.
Tambahnya, pelajar yang bukan dalam bidang komunikasi juga mempunyai peluang yang besar untuk menjadi wartawan kerana organisasi media memerlukan mereka untuk mengupas berita mengikut bidang dan kepakaran seperti Ekonomi, Undang-undang serta Sains dan Matematik.
Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 686