USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KONGSI KEPAKARAN DENGAN BEKAS PELAJAR SEKOLAH PENANG FREE

KUALA LUMPUR, 1 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) sedia berkongsi kepakaran dan menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak yang berminat.

Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam  “Luncheon Talk” bersama kira-kira 80 orang bekas pelajar Sekolah Penang Free - Old Frees Association (OFA) Kuala Lumpur dan Selangor sempena pelancaran “USM for Small Medium Enterprise (USM4SME)”.

Terdahulu, USM menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk menjayakan program USM4SME yang diterajui bekas pelajar sekolah tersebut iaitu syarikat Arkitek Urbanisma Sdn Bhd, Masburan Sdn Bhd dan JFF Maju Bestari Sdn Bhd

Yang turut hadir dalam majlis ini adalah Presiden OFA Kuala Lumpur dan Selangor, Dato’ Kamil Noor Ariff serta beberapa orang pegawai utama USM.

Jelas Omar, pihaknya menghargai kesediaan syarikat-syarikat tersebut mengadakan kerjasama dengan USM untuk universiti memainkan peranan memajukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia dan seterusnya membina jaringan dengan PKS lain dan industri yang berkaitan di rantau ini.

“USM mempunyai segala kepakaran yang perlu apatah sebagai universiti sains pertama di negara ini di samping kekuatan dalam bidang pengurusan dan pengajian perniagaan yang berpengalaman luas.

"Kejayaan USM menggembleng pelbagai kepakaran selama ini melalui Program Pemindahan Ilmu di seluruh negara serta penerokaan teknologi yang tentunya berupaya untuk dikongsi bersama dalam meningkatkan kejayaan PKS," kata Omar.

Program Pemindahan Ilmu USM bukan sahaja terbukti mampu menggembleng kepakaran keilmuan universiti dengan industri di dalam negara malah juga dari luar negara.

Sementara itu, Presiden OFA Kuala Lumpur dan Selangor, Dato’ Kamil Noor Ariff menyambut baik hasrat USM tersebut dan berharap usaha mengadakan majlis yang dikelolakan USM diharapkan dapat membina hubungan baik dan dapat dimanfaatkan untuk tujuan kerjasama kepakaran dalam membantu mereka yang ingin berbuat demikian.

"Saya percaya banyak yang boleh dilakukan bersama-sama dan saling membantu pada masa hadapan," kata beliau.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 681

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024