USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

80 ORANG PELAJAR SERTAI PROGRAM SISWA TURUN DESA 3.0 TERENGGANU

GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 1 Mac 2016 – Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan akan menganjurkan Program “Siswa Turun Desa 3.0” pada 2 hingga 6 Mac 2016 bertempat di Kampung Merchang, Marang, Terengganu melibatkan 80 pelajar.

Perasmiannya akan disempurnakan oleh Pengurus Besar Persatuan Nelayan Negeri Terengganu, Encik Amran Hashim.

Pengarah Projek Siswa Turun Desa 3.0, Muhammad Nazim A. Rashid, 23, berkata program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang cara hidup sebagai nelayan di samping mengalami sendiri kehidupan nelayan melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sana nanti.

“Sebelum ini, Siswa Turun Desa 2.0 bertemakan selami jiwa masyarakat melalui perpaduan, manakala Siswa Turun Desa 3.0 kali ini, kami membawa pembaharuan dengan bertemakan selami jiwa masyarakat melalui kasih sayang bagi membolehkan pelajar menyelami hidup masyarakat nelayan seperti mempelajari cara mencari lokan dan ketam nipah,” katanya.

Mini karnival juga bakal dijalankan sepanjang program ini berlangsung. Pelbagai agensi seperti Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN), Kelab Rakan Muda, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Polis dan Jabatan Pertanian bakal melibatkan diri.

“Saya berharap objektif program ini tercapai dan dapat memberi sedikit sumbangan kepada komuniti nelayan dalam memajukan lagi taraf kehidupan mereka,” katanya.

Majlis penutupan program ini akan disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, YB A. Latiff Awang.

Teks: New Gaik Siew & Nur Qutreen Nada Binti Mahamud (Pelajar internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 838

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024