USM PERLUAS MANFAAT TEKNOLOGI HIJAU BERSAMA INDUSTRI
KUALA LUMPUR, 1 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas jaringan kerjasama dengan rakan industri bagi memperkasa manfaat teknologi hijau dalam memacu pembangunan ekonomi negara.
Kerjasama tersebut secara lebih spesifik dijalin di antara USM melalui Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE>) dengan Masburan Sdn. Bhd, sebuah syarikat penyediaan perkhidmatan yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang kejuruteraan khususnya elektrik dan mekanik.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM sentiasa komited dan berusaha untuk memenuhi hasrat kerajaan yang telah mensasarkan agar industri yang berasaskan teknologi hijau menyumbang kepada peningkatan yang tinggi dalam Pendapatan Negara Kasar menjelang tahun 2020.
Katanya, kerjasama Universiti dengan industri dalam pengaplikasian teknologi hijau yang inovatif dilihat amat penting dalam menjayakan hasrat tersebut khususnya dalam sektor pengurusan tenaga yang berupaya mengurangkan jejak karbon negara.
“Sasaran pengaplikasian teknologi hijau adalah bagi mengurangkan kadar penggunaan tenaga yang berlebihan atau pembaziran tenaga melalui penambahbaikan aplikasi produk, peralatan serta sistem sedia ada secara inovatif dan pada masa yang sama dapat meningkatkan pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) di antara USM bersama empat rakan kolaborasi dari pihak industri di sini semalam.
Antara rakan kolaborasi yang terlibat adalah Creative Content Industry Guild Malaysia (CCIG), Arkitek Urbanisma Sdn Bhd, Masburan Sdn Bhd dan JFF Maju Bestari Sdn Bhd.
Hadir sama ke majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, TNC Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, TNC Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein.
Omar berkata, maklumat yang efektif dan kesedaran awam juga merupakan dua faktor utama yang mempengaruhi kejayaan pengaplikasian Teknologi Hijau di negara ini disebabkan perkara tersebut memerlukan perubahan pemikiran masyarakat.
“Teknologi Hijau juga menyediakan hala tuju dan motivasi kepada rakyat agar dapat terus menikmati kualiti kehidupan dan persekitaran yang baik di samping negara dapat menjana pendapatan ekonomi melalui pembangunan yang berasaskan Hijau,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Masburan, Roslan Ishak pula berkata, pihaknya teruja berkolaborasi dengan USM dalam memperkasa manfaat teknologi hijau bagi memberi impak kepada bidang kepakaran yang ditawarkan syarikatnya.
Katanya, kemampuan menukar sisa buangan kepada penjanaan pendapatan adalah antara contoh potensi yang ada yang disifatkan dapat membantu industri berasaskan sains dan inovasi berkembang dengan lebih pantas dan efisien.
Dalam perkembangan lain, kerjasama USM melalui Pusat Keusahawanan Universiti dengan JFF Maju Bestari Sdn Bhd. bermatlamat dalam mewujudkan kerjasama dan meneroka peluang membangun, menyokong dan memperkaya latihan, penyelidikan, inkubasi, inovasi, teknologi dan pemindahan ilmu dalam pembangunan keusahawanan universiti.
Kerjasama ini meliputi penyelidikan dan inovasi bersama dalam membangunkan SME, penyertaan bersama dalam pembangunan SME, internship, Inkubasi Keusahawanan dan sandaran staf.
Usahasama ini tentunya berupaya membangunkan keusahawanan di USM selaras dengan hasrat dan KPI Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memastikan peningkatan tenaga pengajar keusahawanan dalaman mahupun industri setiap tahun.
Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1804