USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASA USAHAWAN SME MELALUI USM4SME

IMG 20160302 WA0025

KUALA LUMPUR, 1 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) tampil dengan inisiatif USM4SME yang berperanan dalam memperkasa golongan usahawan industri kecil dan sederhana (SME) untuk terus berdaya saing bagi merancakkan pasaran ekonomi negara.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM4SME membuktikan keseriusan USM dalam membantu golongan usahawan memajukan industri mereka khususnnya para siswazah dan tenaga akademik yang mempunyai minat yang tinggi pada keusahawanan.

Katanya, inisiatif ini bakal menjadi satu lagi mercu tanda USM dalam menjayakan hasrat membangunkan SME dengan melibatkan lebih ramai pelajar dan staf universiti terutamanya dalam kalangan pelajar ijazah pertama dan ijazah tinggi serta staf akademiknya.

“Di USM terdapat banyak hasil penyelidikan yang dapat diangkat sebagai produk yang boleh dimajukan terutamanya dalam kalangan pelajar ijazah tinggi, termasuk yang berasaskan kepada keusahawanan teknologi hijau.

“USM berhasrat meningkatkan kolaborasi dengan industri khususnya SME untuk memperlihatkan kemampuan dan keupayaan usahawan tempatan serta mendorong lebih ramai pensyarah dan industri terlibat dalam pelbagai inisiatif yang berkaitan dengan pemindahan ilmu kepada SME,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Program USM4SME, serentak majlis penandatangan memorandum persefahaman (MoU) bersama empat rakan kolaborasi dari pihak industri di sini semalam.

Antara rakan kolaborasi yang terlibat adalah Creative Content Industry Guild Malaysia (CCIG), Arkitek Urbanisma Sdn Bhd, Masburan Sdn Bhd dan JFF Maju Bestari Sdn Bhd.

Hadir sama ke majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik & Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, TNC Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ Dr.See Ching Mey, TNC Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein.

Omar juga berkata, kolaborasi strategik di antara USM dengan rakan industri itu diharap turut berupaya meningkatkan produktiviti dan memberi nilai tambah kepada aktiviti keusahawanan SME.

Katanya, Pusat Pengajian Pengurusan dan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) USM boleh dijadikan pusat rujuk untuk berkongsi kepakaran dalam ilmu pengurusan, manakala kekuatan USM dalam bidang kejuruteraan dan sains turut dapat digembleng untuk mengoptimumkan pencapaian usahawan SME.

“Melalui USM4SME ini juga, kita berhasrat untuk membawa lebih banyak industri terlibat dalam akademik dan kolaborasi bersama dan memastikan ia menjadi penggerak dalam agenda universiti global,” ujar beliau.

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 874

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024