USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JALIN KERJASAMA DENGAN AUSB DALAM BIDANG SENIBINA

STudent Award 2

KUALA LUMPUR, 29 Februari 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjalinkan kerjasama dengan Arkitek Urbanisma Sdn Bhd. (AUSB) berkaitan dengan penempatan pelajar Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) dalam latihan industri di AUSB terutama bidang Senibina dan termasuk bidang-bidang alam bina lain seperti Perancangan, Rekabentuk Dalaman dan Senibina Landskap.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman, AUSB juga menawarkan biasiswa kepada pelajar yang berkelayakan iaitu pada kali ini diberikan kepada Zahirudin Abd. Mutalib, pelajar tahun dua dari PPPBP USM yang mana beliau perlu menjalani latihan industri setiap tahun sepanjang pembelajaran di AUSB untuk memberikan lebih pendedahan dan pengalaman kerja dalam industri senibina.

“USM ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian AUSB menaja pengajian Zahiruddin bermula tahun lalu sehingga beliau tamat belajar di USM dan diharap penajaan ini akan diteruskan kepada pelajar-pelajar lain pada masa yang akan datang,” kata Omar.

Menurut Pengerusi Eksekutif AUSB, Ar. Mohamed Hafiz Mohamed Hashim pelajar yang terpilih untuk menerima biasiswa AUSB juga perlu menabur khidmat dengan AUSB sekurang-kurang tiga tahun selepas tamat belajar.

“Zahiruddin dipilih selepas melalui beberapa sesi temuduga dan juga penyelesaian tugas-tugas khas termasuk pembentangan projek bersama dengan pihak AUSB,” tambah Mohamed Hafiz.

“Pada mulanya, seramai 200 orang pelajar dari seluruh Malaysia dipilih untuk ditemuduga  dan kemudian saya dipilih menjadi 10 yang terbaik dan seterusnya sebagai penerima biasiswa tersebut,” kata Zahiruddin yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak.

Anak kedua dari empat orang beradik ini bercita-cita menjadi seorang arkitek yang berjaya serta membantu masyarakat dengan menitikberatkan pelbagai faedah kepada orang awam seperti melakarkan bangunan yang mesra alam dan beliau berpendapat bahawa arkitek juga memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan keselamatan bangunan untuk digunakan.

Turut hadir menyaksikan penandatanganan MoU tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr Ahmad Shukri Mustapa Kamal, TNC Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ Dr See Ching Mey dan TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Dr Adnan Hussein dan Dekan PPPBP, Profesor Dr. Aldrin Abdullah.

Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Tan Ewe Hoe

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1056

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024