MCKK JOHAN DEBAT PIALA PENGARAH KAMPUS KESIHATAN 2016
KUBANG KERIAN, 29 Februari 2016 – Pasukan debat Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) membuktikan keunggulan mereka apabila menjuarai pertandingan Debat Piala Pengarah Kampus Kesihatan 2016.
Peserta MCKK yang dibarisi Muhammad Sirhan Sidqi Abd Aziz, Muhammad Haikal Mansor, Muhammad Zulamin Zulkipli dan Mohamad Norman Hakimi Dinali, menewaskan Maktab Rendah Sains Mara Taiping dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan Pusat Mahasiswa, USM Kampus Kesihatan.
Dalam pertandingan akhir itu, peserta MCKK yang bertindak sebagai barisan kerajaan dalam debat bertajuk Status Negara Berpendapatan Tinggi Hanya Retorik Politik memukau barisan panel untuk dinobatkan sebagai pemenang.
Menurut Ketua Kumpulan, Muhammad Sirhan Sidqi, kemenangan tersebut cukup bermakna selepas tiga tahun mereka tidak pernah melepasi peringkat suku akhir.
"Kami terkejut dengan keputusan ini kerana menjangkakan saingan sengit daripada pendebat yang menyertai pertandingan, namun bersyukur kerana berjaya menyampaikan hujah dengan baik.
"Ini merupakan kali terakhir kami bertanding sebagai rakan sepasukan kerana selepas ini ada yang akan menamatkan pengajian," katanya.
Mereka menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, piala iringan dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM Kampus Kesihatan, Hafiz Assad Zakaria.
Pada pertandingan kali ini, sebanyak 30 penyertaan yang mewakili 22 buah sekolah seluruh Malaysia. Anugerah Pendebat Terbaik telah disandang oleh Mayang Sarilawanti Amran yang mewakili MRSM Taiping.
Mayang berkata, anugerah sebagai Pendebat Terbaik ini akan mencetuskan inspirasi untuk terus melangkah lebih jauh dengan menyertai kejohanan debat peringkat antarabangsa.
Teks / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 1435