USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEHILANGAN GIGI BOLEH MEMBERI KESAN KEPADA PESAKIT

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Februari 2016 – Gigi boleh menyebabkan terjejasnya estetik dan mungkin memberikan impak yang lebih banyak kepada pesakit berbanding dengan kehilangan fungsinya.

Malah kehilangan gigi hadapan misalnya akan membawa stigma sosial kerana kehilangan gigi dan pengecutan batas (tulang) alveolar, profil muka akan turut berubah, akibat daripada hilangnya sokongan bibir dan penurunan ketinggian muka.

Ini adalah antara kesan daripada penurunan dimensi tegak gigitan yang menyebabkan muka kelihatan 'pendek' secara vertikal akibat hilangnya sokongan daripada gigi.

Manakala kehilangan gusi dan tulang di sekeliling gigi hadapan akan menyebabkan bibir atas kelihatan leper (hilang sokongan).

Bagi mengembalikan estetik, adalah satu cabaran yang penting untuk diambil kira semasa menjalankan rawatan prostetik.

Menurut Pensyarah Pergigian, Unit Prostodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia, Dr. Noor Huda Ismail, rawatan  dentur separa boleh tanggal adalah salah satu rawatan pergigian untuk menggantikan gigi-gigi yang hilang pada pesakit yang masih mempunyai sebilangan gigi.

“Dentur separa boleh tanggal membantu pesakit untuk meningkatkan kualiti hidup kerana ianya memperbaiki estetik, fungsi pengunyahan makanan dan percakapan.

“Walau bagaimanapun, kesedaran dan pengetahuan tentang dentur separa boleh tanggal masih terhad di kalangan kita, maka pendedahan secara ringkas mengenai dentur separa boleh tanggal adalah amat penting yang  meliputi bagaimana dentur separa dihasilkan di klinik pergigian dan juga pemprosesannya di makmal pergigian serta penjagaannya,” jelas Dr. Noor  Huda dalam rancangan radio tempatan di sini.

Katanya, dentur separa perlu dijaga dan dibersihkan seperti gigi asli untuk menjaga kebersihan dentur dan kesihatan gigi dan ruang mulut.

“Pada mulanya, penjagaan dentur separa boleh tanggal mungkin rumit dilakukan, doktor gigi mungkin menyarankan penggunaan pelekat dentur untuk sementara atau waktu yang singkat bagi membantu pesakit membiasakan diri dengan dentur yang baru.

"Walau bagaimanapun, kebanyakan dentur yang retentif dan stabil dengan baik tidak memerlukan pelekat dentur dan adalah perkara biasa di mana pesakit merasa tidak selesa atau sedikit rasa tertekan apabila mula memakainya," kata Dr. Noor Huda.

Doktor gigi boleh membantu untuk mengubahsuai dentur supaya pesakit merasa lebih selesa jika perlu.

Pesakit dinasihati untuk melakukan pemeriksaan gigi dan mulut secara berkala di klinik pergigian yang berdekatan.

Kegagalan untuk menjaga dan membersihkan gigi asli dan dentur separa boleh tanggal boleh mengakibatkan mulut berbau, penyakit gusi, kerosakan gigi asli dan selanjutnya boleh menyebabkan kehilangan gigi,” ujarnya.

Teks: Roslida Mohamed / Foto: Siti Nur Zainab Noor

  • Created on .
  • Hits: 871

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024