ANTARABANGSAKAN PANTUN, KATA TNC HEPA USM
NIBONG TEBAL, PULAU PINANG, 28 Februari 2016 - Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein berharap Pesta Pantun Antara Desasiswa (PADU) akan melibatkan penyertaan para peserta dari kalangan pelajar antarabangsa seterusnya dapat mengantarabangsakan pantun pada masa hadapan.
"Malah budaya mengantarabangsakan pantun ini dapat diselitkan juga ketika lawatan delegasi USM ke luar negara," katanya ketika merasmikan Pertandingan Akhir PADU 2016 di Kampus Kejuruteraan di sini.
PADU 2016 menobatkan Desasiswa Restu USM sebagai juara untuk tahun kedua berturut-turut membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.00.
Pasukan Desasiswa Restu menewaskan pencabarnya iaitu Desasiswa Bakti Permai/Cahaya Gemilang yang menduduki tempat kedua manakala Desasiswa Tekun mendapat tempat ketiga.Anugerah Pemantun Terbaik disandang buat tahun kedua berturut-turut oleh pemantun dari Desasiwa Restu Abdullah Mahyudin yang merupakan pelajar tahun 2 Pusat Pengajian Komunikasi.Abdullah berkata, pertandingan pantun ini sangat baik untuk anak-anak muda apatah lagi dalam kalangan mahasiswa.
"Pantun sebenarnya memerlukan ketajaman akal, jadi pantun bukan sahaja memartabatkan budaya tetapi juga menambahkan ilmu," jelasnya.
Tambahnya lagi, pihak lawan di pertandingan akhir ini juga bukan calang-calang pasukan cuma rezeki masih berpihak kepada Desasiswa Restu untuk menggondol kejuaraan tahun ini.Abdullah dan rakan-rakan pemantun juga berterima kasih kepada jurulatih mereka Nor Fauziah Md Zain yang banyak memberi latihan kepada para pemantun Desasiswa Restu sehingga meraih kejayaan.
Bagi Fauziah pula, kejayaan ini diambil sebagai satu pemangkin untuk menghasilkan pasukan yang lebih mantap pada tahun hadapan serta meningkatkan kualiti pantun termasuk dari segi isi, bahasa serta keupayaan menjawab pantun dengan lebih baik bersesuaian dengan kematangan sebagai seorang mahasiswa.
PADU 2016 terbahagi kepada 3 pusingan iaitu berunsurkan patriotisme, 'Saya Sayang USM' dan jenaka.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 861