MOHAMAD MUZAMMIL MOHAMAD NOOR IKON ISTIMEWA KEBANGSAAN
GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 29 Februari 2016 – Pensyarah Kanan Sejarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Mohamad Muzammil Mohamad Noor, 44, dinobatkan sebagai Ikon Istimewa Kebangsaan sempena Program Konvensyen Orang Kurang Upaya Kebangsaan 2016 di Langkawi International Convention Centre (LICC) kelmarin.
Program ini dianjurkan Yayasan Komuniti Inklusif Langkawi dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan berlangsung pada 26 hingga 28 Februari 2016.
Mohamad Muzammil adalah alumni USM berasal dari Alor Setar, Kedah merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) contoh yang berjaya dalam akademik yang aktif dalam penulisan buku dan antara penulisannya ialah Peranan Guru Melayu di Kedah Dalam Pilihanraya Umum Pertama Tahun 1955; Dr. Burhanuddin al-Helmi: Kegiatan Nasionalisme Dan Politik Semasa Zaman Pendudukan Jepun, 1940-1945; Cikgu Balkis Haji Abdullah Penglibatannya Dalam Nasionalisme di Kedah dan Perpaduan Guru Melayu Dalam Perjuangan Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan dan Sistem Pendidikan Sekolah Melayu di Kedah Sebelum Merdeka.
Buku-bukunya ialah Guru Melayu Dan Politik Di Kedah (1940-1960) terbitan Penerbit Universiti Malaya dalam tahun 2012 serta yang terbaharu, Pemikiran Politik Islam: Perbandingan Pemikiran Dr. Burhanuddin al-Helmi dan Mohd Natsir yang dicalonkan sebagai 'Anugerah MAPIM Buku Ilmiah Terbaik Negara 2015'.
"Sejujurnya saya tidak pernah tahu adanya anugerah ini, iaitu Anugerah Ikon Istimewa Kebangsaan serta saya tidak tahu siapa yang mencalonkan saya dan apa yang saya ketahui ialah saya menerima emel daripada Yayasan Komuniti Inklusif Langkawi (LIKOF) yang melantik saya sebagai Ketua Panel Resolusi OKU Malaysia bagi program Konvensyen Orang Kurang Upaya Kebangsaan 2016 dan menerima mesej pada jam 9.00 malam pada 16 Februari 2016 memberitahu saya dianugerahkan ikon ini," kata Mohamad Muzammil.
Beliau berharap penganugerahan ini akan memberi inspirasi kepada OKU lain untuk berjaya berbangga kerana dapat membawa nama USM yang begitu prihatian dan memberi kemudahan untuk terus membangunkan bakat yang ada.
"Saya juga mengharapkan lebih ramai OKU untuk berjaya dan menonjolkan keupayaan dan diberi pengiktirafan untuk mendorong mereka membangunkan keupayaan setaraf dengan mereka yang dianggap sempurna," katanya lagi.
Mohamad Muzammil terlibat aktif dalam Persatuan Kakitangan Akademik dan Staf Pentadbiran, Persatuan Alumni USM, Kluster OKU USM dan banyak aktiviti kemasyarakatan di luar kampus serta dilantik sebagai Jawatankuasa Kecil Dasar OKU USM yang bertanggungjawab terhadap hak-hak dan keperluan OKU serta turut terlibat dalam aktiviti di negara Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Jerman dan Belanda di samping memberi kuliah di dua buah universiti Indonesia.
"Saya akan meneruskan 'road show' saya untuk memberi motivasi dan keyakinan hidup kepada pelajar sekolah, mahasiswa dan kakitangan awam sambil membawa nama universiti," katanya lagi.
Muzammil juga menasihatkan para pelajar OKU USM agar menghadapi kegetiran sebagai seorang mahasiswa OKU dengan tabah seperti mana pernah dilaluinya yang pernah jatuh tangga dan gaung dari kerusi roda dan mengalami luka dan bekas luka itu adalah 'sejarah indah' dan berpegang kepada kata-kata ‘biarlah hidup ini getir tetapi hasilnya dapat membuatkan senyuman lebar pada masa akan datang’.
Muzammil juga sentiasa berpegang pada kata-kata semangatnya iaitu 'segala kekurangan yang dimiliki adalah kekuatan'.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1862