PELAJAR USM BANTU MANGSA KEBAKARAN
GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 26 Februari 2016 - Pelajar-pelajar melalui Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) bersama Persatuan Kebajikan Sosial Malaysia bersatu hati membuat kutipan membantu mangsa kebakaran di Teluk Kumbar baru-baru ini.
Wakil MPPUSM yang diketuai oleh Haja Mydin Abdul Kuthoos telah menyampaikan sumbangan tersebut kepada ahli keluarga Rosshina Abd Latif, 24, yang telah kehilangan suami dan bayinya yang berusia 3 bulan baru-baru ini dalam suatu kebakaran rumah dan mengalami kerugian yang besar kerana hampir 98% kediamannya musnah dalam kebakaran ini.
Menurut Haja Mydin, pelajar USM perlu membantu masyarakat sebagai tanda keprihatinan terhadap pelbagai isu yang ada terutamanya dalam membantu mereka yang memerlukannya.
“Sumbangan ini dihulurkan atas niat untuk membantu meringankan beban keluarga ini dengan harapan usaha kecil ini dapat membantu mereka yang sangat memerlukan," kata Haja Mydin.
Menurutnya, selepas mendapat berita tentang kebakaran yang berlaku, usaha untuk membuat kutipan ini dikongsi melalui laman sosial facebooknya dan kumpulan-kumpulan yang terdapat dalam aplikasi whatsapp yang memberikan bantuan dan sumbangan termasuk barangan dan wang tunai untuk diserahkan kepada mangsa.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein menyambut baik usaha ini dan mengucapkan syabas kepada usaha para pelajar USM ini.
"Saya bangga dengan keprihatinan dan inisiatif yang ditunjukkan oleh para pelajar USM dalam membantu mangsa kebakaran ini," katanya.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Haja Mydin Abdul Kuthoos
- Created on .
- Hits: 1148