USAHA MEMASYARAKATKAN UNIVERSITI
BALIK PULAU, PULAU PINANG, 27 Februari 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa berusaha dan memastikan program-program keilmuan dan kesukarelawanan yang dijalankan mampu memberi manfaat sepenuhnya kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Y.B. Muhammad Farid Saad berkata, adalah menjadi tanggungjawab USM sekiranya dapat berkongsi idea dan kepakaran yang dimiliki bagi meneruskan kelangsungan peningkatan hidup dan sosioekonomi masyarakat sekeliling."
Saya berbangga dengan usaha USM yang sentiasa berusaha mendekati masyarakat terutamanya komuniti di Balik Pulau ini dalam usaha memasyarakatkan universiti," kata Muhammad Farid.
Tambahnya, program kemasyarakatan yang dijalankan sama ada oleh persatuan atau kelab pelajar mahu pun pihak lain turut melibatkan pengurusan tertinggi USM yang sentiasa prihatin kepada masyarakat.
"Saya sentiasa mengikuti perkembangan USM dan berbangga kerana banyak program kemasyarakatan sedang diusahakan dan berharap USM dapat meneruskan usaha murni ini," kata Muhammad Farid lagi.
Beliau hadir ketika merasmikan dan melepaskan larian "Charity walk" Pesta Amal Tahun Baru Cina ke-10 USM 2016, anjuran Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) Universiti Sains Malaysia (USM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart, Balik Pulau.
Katanya lagi, USM sememangnya sinonim dengan komuniti Balik Pulau kerana menyalurkan ilmu dan kepakaran dengan membangunkan projek ekonomi, pelancongan, pendidikan dan keusahawanan."
Selagi mana USM bertindak memasyarakatkan universiti ini, selagi itulah ia dapat membuka mata masyarakat apatah lagi golongan muda untuk menghargai ilmu meningkatkan taraf pendidikan orang kampung," kata beliau lagi.
Pengarah Projek, Samson Chieng Kuan Meng berkata, program amal ini adalah bertujuan mendekatkan sekretariat bersama penduduk Balik Pulau dalam perkongsian ilmu dan budaya.
"Hari ini, lebih dari 100 orang ahli sekretariat bekerjasama menjayakan program ini dan ia adalah usaha murni USM untuk memastikan USM sentiasa di hati masyarakat."
Tambahnya lagi, sepanjang program ini turut dibuka gerai jualan dan pameran kebudayaan Cina di mana hasil jualan akan disumbangkan sebagai tujuan amal sekretariat terbabit.
Program Charity Walk disertai oleh lebih 300 penyertaan pada pagi ini turut dimeriahkan dengan tarian Zumba sebelum dilepaskan untuk larian.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 996