USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SMK MENGKUANG JOHAN CATUR BISTARI PROTUNE

GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 27 Februari 2016 – Pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkuang Pulau Pinang meraih kejayaan cemerlang dalam Pertandingan Catur Bistari Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNE) dengan menjadi johan pertandingan anjuran bersama Rancangan Keusahawanan, Pusat Rancangan Kokurikulum Universiti Sains Malaysia (USM), Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPN) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang berlangsung di sini baru-baru ini.

SMK Penang Free (PFS) pula meraih tempat kedua dan SMK Bukit Mertajam meraih tempat ketiga.

Penolong Pengurus Kanan PDC,  Zahida Mohd Idriss berkata, pertandingan yang disertai oleh 34 buah sekolah menengah di Pulau Pinang ini bertujuan memenuhi keperluan para pelajar PROTUNE di Pulau Pinang untuk menyertai konvensyen peringkat kebangsaan.

Katanya, pihak penganjur akan memilih pemenang pertandingan anjuran kali ini untuk mewakili negeri Pulau Pinang bagi menyertai Pertandingan Catur Bistari peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di negeri Perak pada 11-14 Mac ini.

Ketua kumpulan SMK Mengkuang, Syazana Binti Razalan, 15, berkata kumpulannya pada awalnya menganggap permainan catur bistari ini sukar untuk dikendalikan.

Tambahnya lagi, pelbagai cabaran yang perlu mereka hadapi ketika bertanding seperti mencari strategi-strategi yang sesuai untuk memenangi pertandingan ini.

Peserta dari SMK Bakti Pulau Pinang yang bermain catur sejak berumur 13 tahun, Muhammad Ammar Bin Kuzainal, 16, berkata, pertandingan ini dapat memupuk semangat perniagaan dalam dirinya.

“Saya berharap  pertandingan seperti ini boleh diteruskan lagi pada masa akan datang untuk memupuk semangat perniagaan dalam diri seseorang,” ujarnya.

Bagi peserta dari SMK (P) St. George, Nursyazana Binti Abd Muthalip, 16, berpendapat bahawa pertandingan ini mencetuskan kegembiraan kepadanya kerana dia berpeluang untuk mengenali dan berinteraksi dengan peserta-peserta lain dari pelbagai sekolah.

Johan pertandingan catur bistari ini membawa pulang piala, sijil dan wang tunai sebanyak RM 350 manakala naib johan, RM250 dan tempat ketiga, RM150.

Teks: Nur Qutreen Nada binti Mahamud, Elezise Oh Ming Han, Loh Mei Fang (Pelajar internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 840

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024