USM-UNIKAMA INDONESIA SEPAKAT JALIN KERJASAMA PERKUKUH HUBUNGAN
PULAU PINANG, 26 Februari 2016 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini menerima kunjungan hormat delegasi dari Universitas Kanjuruhan Malang, Indonesia (UNIKAMA) yang diketuai oleh Rektornya, Dr. Pieter Sahertian di Bilik Persidangan Canselori USM.
Omar berkata, USM menyambut baik hasrat delegasi seramai enam orang dari UNIKAMA ini untuk menjalin kerjasama dan berkongsi kekuatan dalam pelbagai bidang.
"Saya berharap melalui lawatan ini, hubungan di antara dua buah negara akan diperkukuhkan lagi dan lebih banyak kerjasama dalam bidang pembelajaran dan penyelidikan bersama dapat diusahakan pada masa yang akan datang," kata Omar.
Dalam pada itu, Naib Canselor USM menyatakan kesediaan USM untuk menandatangani memorandum persefahaman untuk berkolaborasi dalam pelbagai aspek khususnya pembelajaran sepanjang hayat kepada pensyarah UNIKAMA.
"Konvokesyen USM baru-baru ini telah melahirkan 12 orang doktor falsafah dalam kalangan pensyarah dari Universitas Internasional Batam (UIB) Indonesia melalui kolaborasi program pasca siswazah Doktor Falsafah kepada pensyarah dan USM mengalu-alukan kedatangan pensyarah dari UNIKAMA dalam melanjutkan pelajaran khususnya di peringkat Doktor Falsafah supaya dapat melahirkan lebih ramai pensyarah yang mempunyai pendidikan tinggi untuk masa hadapan universiti dan negara," tambahnya.
Dalam ucapan balas, Pieter Sahertian mengharapkan lawatan ini akan membolehkan kedua-dua belah pihak berkongsi ilmu pengetahuan dan menjalin kerjasama di antara UNIKAMA dan USM dalam pelbagai bidang.
“Oleh itu, kami berharap dengan lawatan pada kali ini dapat menjalin hubungan penyelidikan bersama-sama dengan universiti di rantau Asia ini selain USM dilihat sebagai salah satu institusi terkemuka,’’ katanya lagi.
Beliau menyambut baik hasrat dan saranan Naib Canselor USM untuk menjalankan program pengsiswazahan doktor falsafah untuk pensyarah UNIKAMA.
UNIKAMA merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Indonesia yang pada awal penubuhannya menumpukan kepada bidang pendidikan dan melatih guru-guru di Surabaya, Indonesia. Kini, UNIKAMA mempunyai enam fakulti antaranya ialah Ekonomi, Ilmu Pendidikan, Sains dan Teknologi, dan Undang-undang.
Deligasi UNIKAMA ini turut dibawa melawat sekitar USM dan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 583