USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM AMAL GAYA HIDUP SIHAT

gym1

George Town Pulau Pinang, 26 Februari 2016 - Sesuai dengan  ‘trend’ gaya hidup sihat pada masa kini yang dikatakan mampu menyerlahkan ketrampilan dan keyakinan diri,  ramai dalam kalangan pelajar Universiti Sains  Malaysia (USM) mengunjungi gimnasium USM melakukan aktiviti  kecergasan fizikal dengan menggunakan pelbagai kemudahan yang terdapat di sini. 

Bilangan mereka yang  menggunakan kemudahan sukan di gimnasium USM  ini dilihat semakin meningkat  dalam kalangan pelajar malah juga pensyarah dan warga USM  lainnya. 

gym4

Calon  sarjana dalam bidang Sejarah Md Hasri Rajali, 24, misalnya mula meminati  aktiviti kecergasan  di gimnasium sejak di bangku sekolah, tetapi tidak berpeluang untuk mengikutinya kerana kos yang dikenakan agak tinggi. 

“Apabila tahu USM mempunyai kemudahan yang lengkap bagi tujuan ini, saya mula pergi gimnasium untuk mempelajari  teknik yang betul dan menimba ilmu dari mereka yang lebih berpengalaman.” 

Anak kelahiran negeri Sarawak itu berkata, kemudahan yang ada di gimnasium mampu membina badan dan kecergasan fizikal mengikut tahap kemampuan seseorang tanpa merosakkan tubuh badan. 

"Aktiviti sukan seperti ini memerlukan ketahanan fizikal mengikut kemampuan bebanan yang mampu dipikul peringkat demi peringkat," kata Md Hasri. 

Tambahnya, sukan seperti ini bukan sahaja mampu meredakan tekanan selepas menghadiri kuliah termasuk menyelesaikan tugasan, tetapi turut membantu bersosial dan bertukar idea sesama rakan pelajar yang berlainan kursus pengajian. 

Rata-ratanya pelajar yang memilih sukan bina badan bermula seawal usia 19 tahun sehingga 45 tahun dan mempunyai matlamat tersendiri melalui perubahan fizikal yang dikehendaki. 

gym7

Pelajar Perakaunan tahun kedua Taufiq Dasthagir, 21,  yang berasal dari Perak pula mula meminati bidang sukan ini sejak dibawa oleh rakan yang ingin mencuba peralatan yang disediakan di sini. 

“Dari situ saya mula meminati sukan ini dan hingga sekarang saya akan hadir sekurang-kurangnya satu jam sehari, empat kali seminggu,"kata Taufiq yang berharap lebih ramai pelajar menyertai sukan di gimnasium ini agar tidak menghabiskan masa hanya dengan  media sosial dan lupa  tanggungjawab menjaga kesihatan diri. 

Pelajar Sarjana Muda Sains Matematik Lim Chin Huat,21,  yang aktif bersukan sejak dari kecil menganggap aktiviti kecergasan diri dengan menggunakan peralatan di gimnasium sebagai gaya hidupnya sebagai hobi utama. 

gym 5

“Berpegang kepada ‘mencegah lebih baik dari mengubati’, jadi dari awal saya akan berusaha menjaga kesihatan melalui cara bersukan bagi mengelakkan sebarang penyakit," katanya. 

Tambahnya, sebagai pelajar terdapat kekangan perbelanjaan harian untuk  membina badan  dan mengekalkan kecergasan  dengan   makanan yang berkhasiat yang tinggi protein, serat dan pelbagai vitamin yang memerlukan wang yang banyak. 

“Tetapi perkara itu tidak menghalang untuk sentiasa melakukan senaman, kerana sebagai pelajar, kesihatan mental dan fizikal amat penting supaya sentiasa cergas dan cerdas di dalam kelas termasuk menjalankan aktiviti ko-kurikulum,"tambahnya lagi. 

gym 8

Marsha, 32, yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran pula berpendapat aktiviti kecergasan fizikal dan membina badan  tidak selasak permainan ekstrim  lain, kerana semua peringkat umur dan jantina mampu menceburi bidang sukan ini. 

“Saya berharap lebih ramai wanita menyertai aktiviti sukan di gimnasium atau aktiviti sukan  lain dari banyak menghabiskan masa dengan gajet dan dunia maya,"katanya. 

Pada pandangannya wanita banyak terdedah kepada pelbagai penyakit merbahaya seperti kanser, jadi salah satu pendekatan terbaik adalah bersukan, menjalankan aktiviti kecergasan fizikal dan membina tubuh badan yang sihat. 

gym3

Pelajar antarabangsa dari Iraq, Saif Ali Tareq, 28,  tidak berasa terasing ketika berada di gimnasium kerana mereka yang menggunakan kemudahan di sini biasanya  ramah dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. 

Pelajar yang sedang mengikuti pengajian Sarjana dalam bidang Teknologi Industri ini merupakan ahli tetap di gimnasium USM kerana kemudahan di sini dianggapnya  setaraf  dengan gimnasium di luar kampus yang mengenakan bayaran yang tinggi. 

“USM menyediakan kemudahan yang baik untuk pelajar, kenapa perlu saya membelanjakan wang untuk menyertai gymnasium di luar,” katanya. 

Saif Ali  berharap kemudahan yang disediakan sekarang dapat dinaiktaraf memandangkan peralatan di sini agak lama termasuk menambahbaik peralatan terkini bagi menampung bilangan pengunjung yang semakin meningkat. Teks/Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

 

  • Created on .
  • Hits: 1308

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024