USM STRUKTURKAN SEMULA IO - BANTU KEBOLEHPASARAN PELAJAR
PULAU PINANG, 25 Februari 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) menstruktur dan menjenamakan semula Pejabat Antarabangsa atau International Office (IO) sebagai Pusat Keantarabangsaan Mobiliti dan Kerjaya atau dalam Bahasa Inggerisnya International Mobility and Career Centre (IMCC) mulai awal tahun ini.
Pengarah IMCC, Dr. Muhizam Mustafa berkata, perbezaan antara IO dan IMCC ialah penambahan elemen kebolehpasaran pelajar atau Graduate Employability (GE) dengan tumpuan untuk menyediakan landasan kepada pelajar USM bekerja di luar negara.
"IMCC merangka program untuk pelajar kita lebih mempelajari dan menghayati cara kerja dalam persekitaran antarabangsa, menimba pengalaman sebanyak mungkin dan memahami kepelbagaian budaya di negara lain.
"Jika sebelum ini pendedahan diberi untuk membolehkan pelajar bersaing dengan mereka yang berada di luar negara dari segi keupayaan pembelajaran dan akademik, kini fungsinya lebih kepada usaha untuk meningkatkan keyakinan diri dan keupayaan pelajar kita agar mampu berdiri sama tinggi dengan mereka yang berada di pelbagai negara maju dan di pentas dunia," kata Muhizam.
Tambahnya, dua matlamat utama dengan penjenamaan semula IMCC ini ialah untuk mempromosikan USM kepada pelajar luar negara dan menarik mereka untuk lebih mengetahui tentang kelebihan belajar di sini agar lebih ramai lagi berminat datang ke USM.
"Matlamat kedua adalah untuk meningkatkan mobiliti keluar masuk pelajar ke dalam dan luar negara melalui jalinan hubungan dengan pelbagai pihak dan universiti yang terkemuka melalui pelbagai jaringan yang ada misalnya AUN-ACTS (ASEAN University Network), AIMS (ASEAN International Mobility for Students), UMAP (University Mobility in Asia and the Pacific) and ASEAN International Mobility Bangkok," kata Muhizam.
Pihaknya juga berharap agar semua pihak terutamanya pusat-pusat pengajian di USM dapat membantu dalam menjalin hubungan dengan pihak luar agar dapat membuka lebih banyak ruang dalam menarik pelajar luar negara ke sini.
Para pelajar USM pula diseru untuk menyertai program Student Buddies di bawah naungan IMCC yang berperanan untuk membantu pelajar luar yang datang ke USM melalui pelbagai program pertukaran pelajar.
Muhizam berharap agar IMCC dapat membantu membawa nama USM kepada masyarakat antarabangsa dan menarik lebih ramai pelajar dari pelbagai negara mengikuti pengajian di sini termasuk melalui pertukaran pelajar.
"Kita mensasarkan untuk mencapai bilangan 4,000 orang pelajar luar negara di USM seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi malah mengharapkan bilangan akan melebihi sasaran tersebut pada masa akan datang," kata Muhizam.
Teks: Nur Izzah (pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 1268