USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MPP DAN YAYASAN USM TERUSKAN USAHA MURNI PROGRAM KAMPRI

12787036 551031045063837 974985283 o

PULAU PINANG, 25 Februari 2016 – Program Bantuan Kami Prihatin (KamPRI) anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) diteruskan lagi bagi siri kedua pemberian bantuan makanan percuma kepada para pelajar USM yang kurang berkemampuan bagi semester dua sidang 2015/2016.

Menurut pengarah projek KamPRI, Wang Wee Foong, 23, inisiatif pemberian makanan percuma ini disasarkan kepada pelajar yang datang dari latar belakang keluarga berpendapatan rendah dan tergolong dalam kelompok B40.

“Bungkusan yang diedarkan kepada 100 orang pelajar ini merangkumi makanan dan minuman yang diharap dapat meringankan beban pelajar-pelajar ini,” tambahnya dalam majlis pelancaran KamPRI siri kedua di sini, semalam.

Jelasnya lagi, program KamPRI yang telah dilancarkan pada Disember tahun lalu telah mendapat penajaan daripada badan korporat dan syarikat swasta di sekitar Pulau Pinang serta Yayasan USM yang telah banyak menyumbang dalam menjayakan program ini.

kamri2

“Saya berharap program KamPRI ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai tanda keprihatinan kita terhadap kebajikan para pelajarnya serta berharap lebih ramai individu mahu pun badan korporat tampil untuk terus menyumbang,” katanya yang juga Naib Yang Dipertua II MPP USM.

Sementara itu, penerima bantuan KamPRI, Fatin Suhaila binti Shukor, 21, berkata, pemberian makanan percuma ini telah banyak mengurangkan bebanannya memandangkan pelajar kini memerlukan perbelanjaan yang besar dalam pembelajaran.

“Saya merupakan penerima bantuan KamPRI sejak mula diperkenalkan lagi. Saya berharap bantuan ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan,” kata pelajar tahun dua dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan ini.

Bagi pelajar tahun dua Pusat Pengajian Sains Farmasi, Muhd Noorikhhuanni bin Sunip, 20, pula, KamPRI ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik di USM.

kamri1

“Program ini seharusnya diteruskan pada masa hadapan kerana dapat meringankan beban pelajar yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah,” tambahnya lagi yang baru kali pertama menerima bantuan tersebut.

Program ini dibuat melalui kerjasama pihak Yayasan USM dengan MPPUSM dan libatsama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1237

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024