PELAJAR USM CEMERLANG DALAM PERTANDINGAN SENI BINA PR1MA-PAM
GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 24 Februari 2016 – Pelajar-pelajar Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) Universiti Sains Malaysia (USM) mencapai kejayaan cemerlang dalam ‘PR1MA-PAM Architectural Ideas Student Competition’ dengan mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga bagi kategori The PR1MA Landed Homes untuk pelajar ijazah sarjana muda PAM.
Pemenang Hadiah Pertama ialah Amirul Hakim Ismar, Ahmad Syamil Sazali, Muhammad Ikhwan Aripin, Muhammad Nazli Karamazaman dan Najwa Harzani Ezumi Harzani manakala Hadiah tempat Kedua dimenangi oleh Chan Lee Kang, Anis Amirah Khir, Muhammad Izzat Hafifuddin dan Siew Chai Mei dan Hadiah tempat Ketiga pula dimenangi oleh Kelvin Ah Kian, Shahzuan Mohd Ali Baba, Radzrin Syirzawan Ruslan, Zikri Afiq Iskandar Zulkarnain dan Lee Phei Qie.
Pertandingan yang dianjurkan bersama dengan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) ini mencari kreativiti dan inovasi pelajar untuk skim perumahan berkualiti yang berpatutan.
Dekan PPPBP, Profesor Dr. Aldrin Abdullah berkata, pertandingan ini adalah untuk memperkenalkan idea-idea murni mengenai skim perumahan potensi rendah untuk rakyat berpendapatan sederhana.
"Bermula pada awal November 2015, USM telah mula mengambil bahagian dalam pertandingan ini dan diwakili oleh pelajar Seni Bina tahun ke-2 dan ke-3 dari PPPBP.
"Berpegang kepada nic dan juga kelebihan pusat pengajian bersama kekuatan elemen Eco-tecture, pasukan USM telah bersepadu mereka bentuk secara pasif dan menambah unsur-unsur hijau ke dalam reka bentuk rumah mampu milik ini," tambahnya.
Ahli kumpulan yang memenangi tempat pertama, Muhammad Nazli Karamazaman berkata, kumpulannya menghadapi pelbagai cabaran dalam menyiapkan tugasan ini untuk berjaya mendapat tempat pertama yang merupakan satu kepuasan buat semua ahli kumpulannya.
“Secara keseluruhan, ini adalah satu pengalaman yang baik buat kami kerana telah membuatkan kami memahami dengan lebih mendalam berkaitan dengan interaksi antara seni bina dan keadaan sosial masyarakat yang mendiami kawasan tersebut,” ujarnya.
Tambahnya lagi, ini merupakan pengalaman manis dan juga menarik kerana seluruh ahli kumpulan berharap agar idea ini dapat diterapkan dalam reka cipta perumahan di seluruh Malaysia.
Nazli juga bersyukur dengan kemenangan ini dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Dekan PPPBP dan juga pensyarah merangkap mentor, Profesor Dr. Abdul Malek Abdul Rahman dalam memberi bimbingan sepenuhnya sepanjang projek ini berlangsung sehingga selesai.
Majlis penyampaian anugerah ini telah diadakan di Saujana Hotel, Subang Jaya baru-baru ini. Tiga pasukan USM yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM 8000, RM 6000 dan RM 4000 berserta sijil.
USM telah menghantar 11 pasukan untuk bertanding dalam Kategori 1 dan 1 pasukan bagi Kategori 2. Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori 1 (Landed Homes)(Bahagian 1), Kategori 2 (High-Rise Living)(Bahagian 2) dan Kategori 3 (Transit Oriented Development)(Graduan Muda).
Yang hadir ke majlis tersebut ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Wahab Mutalib Alias, Pengerusi PAM untuk Anugerah, Pertandingan dan Jawatankuasa Acara, Ar Sarizal Yusman Yusof dan Presiden PAM, Ar Mohd Zulhemlee An.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Ihsan PPPBP
- Created on .
- Hits: 1084