KUNJUNGAN PRO NAIB CANSELOR UoB WUJUD PELUANG KERJASAMA
NIBONG TEBAL, 24 Februari 2016 – Kunjungan Pro Naib Canselor, Profesor Collin Grant dari University of Bath (UoB), United Kingdom ke Kampus Kejuruteraan semalam memperlihatkan beberapa peluang kerjasama dalam pengajian dan pembelajaran serta penyelidikan terutamanya dalam bidang kejuruteraan.
Penolong Naib Canselor, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, UoB ingin mencari rakan strategiknya di Malaysia dalam usahasama penyelidikan dan akademik.
“Kita sentiasa bersedia dan terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam meningkatkan pencapaian dalam akademik mahu pun penyelidikan”, katanya.
Beliau turut melahirkan harapan agar kerjasama pintar antara USM dan UoB ini akan membuka peluang kolaborasi penyelidikan dan akademik yang pasti akan membantu USM mencapai status Universiti Global, terutamanya melalui usaha Kampus Kejuruteraan.
Ahmad Farhan juga menyatakan hasrat beliau untuk melibatkan pihak lain di Kampus Kejuruteraan yang boleh turut terlibat dalam usaha mengukuhkan kerjasama seterusnya merealisasikan hasrat mewujudkan kolaborasi bidang kejuruteraan.
Dalam pertemuan itu, tiga kumpulan penyelidik telah membentangkan profil penyelidikan masing-masing iaitu kluster "water security" yang diketuai oleh Profesor Dr. Ismail Abustan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Sistem Saliran Bioekologi (Bioecods) oleh Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dari Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) dan pasukan penyelidik “Green Engine Initiative” oleh Profesor Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.
Setelah perbincangan hampir dua jam, kedua-dua pihak amat berpuas hati kerana bidang fokus penyelidikan untuk ketiga-tiga skop perbincangan adalah selari dan kemungkinan untuk menjalankan kerjasama adalah amat tinggi.
Sementara itu, menurut Collin Grant, beliau merasakan bahawa perbincangan dan lawatan ini benar-benar bermakna dan menarik perhatiannya dengan pelbagai kecemerlangan Kampus Kejuruteraan khususnya.
“USM mempunyai kekuatan dan terbukti cemerlang dalam penyelidikan air melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dan REDAC yang sudah tentu merupakan satu-satunya HICoE di Malaysia”, katanya.
Jelasnya, usaha ke arah kerjasama tersebut dapat menambah nilai kedua-dua pihak terutamanya kepada REDAC, Kampus Kejuruteraan dan juga UoB.
“Harapan saya sangat tinggi dalam lawatan ini bukan sahaja kerjasama penyelidikan dan kemanusiaan malah jalinan kerjasama yang lebih dengan beberapa bahagian yang lain”, jelasnya ketika ditemui selepas dibawa melawat ke tapak Bioecods dan Makmal Hidraulik, REDAC.
Di samping kekuatan UoB, Collin Grant juga amat teruja dengan keupayaan dan prestasi pasukan penyelidik kejuruteraan USM.
Beliau sebelum itu turut mengadakan rundingan dengan Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ See Ching Mey, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Felo Penyelidikan, Research Internationalisation@USM, Profesor Dato’ Dr. V. Navaratnam dan pegawai-pegawai utama Universiti di Kampus Induk pada sebelah pagi.
Dalam pada itu, Nor Azazi Zakaria berkata, beliau mendapati bahawa lawatan tersebut mungkin merupakan agenda seterusnya dalam meningkatkan lagi rangkaian kerjasama antara REDAC di peringkat antarabangsa khususnya dalam "water security".
“Saya lihat UoB mempunyai minat yang tinggi dan berhasrat untuk bekerjasama dengan kita dan ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan status HICoE yang kita perolehi sebelum ini”, katanya.
“Kami akan membantu dan pasti memulakan perancangan dari sekarang dalam meneruskan apa sahaja yang mereka mahukan bagi melebarkan jaringan seterusnya kerjasama penyelidikan”, kata Nor Azazi mengakhiri temubual.
Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin
- Created on .
- Hits: 1021