STAF USM PRIHATIN NASIB KANAK-KANAK GELANDANGAN
PULAU PINANG, 24 Februari 2016 – Setiap kanak berhak mendapatkan pendidikan dan bimbingan selain kasih sayang dan keperluan harian daripada ibu bapa mereka. Namun bukan semua kanak-kanak yang lahir ke dunia ini bernasib baik, sebaliknya terpaksa melalui kesukaran hidup luar jangkaan.
Keinginan untuk membela nasib anak-anak inilah yang membuatkan Penerbit Rancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Ayda Fatahiyah Abd Malek, 33, bersemangat untuk meneruskan usaha murninya dalam memperjuangkan nasib kanak-kanak gelandangan ini dalam bidang pendidikan.
“Pada mulanya saya hanya terlibat dengan satu program yang memberi makanan dan pendidikan percuma kepada golongan gelandangan setiap hujung minggu, namun saya mula mengambil tindakan lebih serius dengan memberikan pendidikan kepada mereka apabila melihat tiada sukarelawan yang ingin mengajar anak-anak yang terbiar ini misalnya untuk kenal huruf dan membaca," katanya.
Ayda memulakan kelas tambahan jalanan ini bersama beberapa orang kawannya pada Jun tahun lepas yang bertujuan bukan untuk mempersiapkan kanak-kanak terbabit menduduki peperiksaan sebaliknya lebih kepada memupuk minat belajar.
"Saya rasa kita tak boleh harapkan pihak-pihak lain atau pihak berkuasa datang membantu. Daripada kita marah atau tunggu sahaja, lebih baik kita buat sesuatu," katanya yang kini mempunyai 15 orang anak murid dalam kelas yang diadakannya setiap hari minggu ini.
Tambahnya lagi, tujuan kelas ini adalah untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak ini tentang pentingnya pelajaran kerana kebanyakan mereka ini datang daripada keluarga yang mempunyai masalah kewangan dan tercicir dalam pelajaran serta persekitaran yang terdedah kepada masalah sosial.
"Kami hanya nak keluarkan mereka daripada persekitaran tersebut, sebab kalau dikelilingi pelbagai masalah sosial dan dadah, rumah yang sempit dan susah nak bersekolah, tak mustahil anak-anak ini akan menjadi peragut atau penagih dadah suatu hari nanti," katanya.
Kelas ini diadakan secara mudah dengan mereka duduk di atas beberapa helai tikar yang dibentang di kaki lima di Lebuh Acheh, Pulau Pinang. Tenaga pengajar sukarelawan membahagikan kanak-kanak tersebut kepada kumpulan-kumpulan kecil supaya lebih mudah fokus semasa mengajar.
“Selain mengadakan kelas tambahan ini, kami juga membawa kanak-kanak ini melawat tempat-tempat yang mampu memberikan semangat untuk mereka belajar seperti Muzium Galeri Tuanku Fauziah USM, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan sebagainya,” kata Ayda.
Bagi Ayda, kejayaan terbesar dalam kerja kebajikan yang dilakukan ini adalah apabila berjaya membawa tiga orang kanak-kanak ini kembali ke sekolah.
“Mereka ini pernah bersekolah pada suatu ketika dahulu, namun disebabkan faktor kewangan dan persekitaran serta keluarga yang kurang menitikberatkan pendidikan, mereka tidak sambung lagi pelajaran.
Tetapi, selepas mereka mengikuti kelas tambahan jalanan yang kami adakan ini, semangat untuk kembali ke sekolah itu datang,” jelasnya yang pernah mengikuti sukarelawan membantu rakyat di Palestin.
Selain daripada memberikan pendidikan kepada kanak-kanak ini, Ayda dan beberapa orang rakannya turut mendekati keluarga kanak-kanak ini untuk mengumpul data tentang mereka.
Ceritanya, ketika memulakan kelas tambahan jalanan pada Jun lalu, dia langsung tidak bertanya apa-apa mengenai latar belakang keluarga mereka.
Hanya apabila mereka semakin rapat dengannya barulah kepercayaan untuk bercerita tentang sisi kehidupan keluarga mereka. Ayda dan rakan-rakannya juga turut mengunjungi rumah keluarga miskin kota ini untuk memahami keadaan kehidupan mereka dengan lebih dekat.
Apabila ditanya tentang perancangan masa hadapannya tentang kerja kebajikan yang dilakukannya ini, Ayda ingin panjangkan kerja kebajikan ini kepada anak-anak staf USM yang memerlukan pendidikan.
“Saya kini dalam proses menyiapkan kertas kerja untuk menjalankan kebajikan dalam bidang pendidikan kepada anak-anak staf USM yang ketinggalan dalam pelajaran di samping membantu mereka yang memerlukan dan saya berharap warga USM dapat juga turun padang dan memberikan sumbangan untuk mereka yang memerlukan,” katanya lagi.
Ayda juga berharap usaha ini dapat dikembangkan dengan melibatkan lebih ramai sukarelawan dalam kalangan staf dan pelajar USM untuk membantu mereka yang sangat memerlukan sumbangan tenaga dan ilmu pengetahuan.
Teks: Syuhada bt Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 1216