USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AARG USM – 22 TAHUN BERKHIDMAT UNTUK KOMUNITI

prof1

PULAU PINANG, 23 Februari 2016 – Kumpulan Bertindak dan Penyelidikan AIDS atau AIDS Action & Research Group (AARG) di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) telah 22 tahun membantu masyarakat dalam memberikan maklumat yang tepat tentang gejala HIV/AIDS.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Profesor Dr. Azlinda Azman, penubuhan AARG pada tahun 1994 adalah  untuk mengurangkan risiko jangkitan HIV/AIDS dengan memberi maklumat yang tepat kepada komuniti di luar sana dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan untuk bersama-sama menangani gejala ini.

"Malah, matlamat AARG adalah untuk mengurangkan stigma dan diskriminasi kepada mereka yang hidup dengan HIV/AIDS dengan menggalakkan penyertaan daripada komuniti di dalam seminar, simposium, dialog, pameran dan pelbagai bengkel tentang HIV/AIDS yang melibatkan pelajar USM, pelajar sekolah dan orang ramai melalui kerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, pelbagai persatuan pelajar USM mahu pun pihak-pihak lain yang berkaitan," kata Azlinda.

Jelasnya lagi, pihaknya terlibat dalam banyak penyelidikan tentang HIV/AIDS dan penagihan dadah dengan 5 daripadanya adalah penyelidikan utama yang melibatkan pelbagai disiplin pengajian sepanjang tempoh penubuhan AARG melalui pelbagai geran.

Azlinda yang juga Konvenor AARG menjelaskan, unit di bawah penyelarasan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan ini ditubuhkan hasil daripada inisiatif beberapa orang pensyarah berpengalaman dalam bidang Kerja Sosial, Antropologi dan Sosiologi, Kaunseling, Komunikasi, Ekonomi, Perakaunan dan Kesihatan Awam yang berminat dalam isu-isu HIV/AIDS."

Sehingga kini, AARG telah membantu lebih 3,000 orang penagih dadah untuk membina masa hadapan baharu dengan keluar daripada risiko HIV/AIDS dan ada yang dibantu sehingga melanjutkan pengajian di peringkat ijazah tinggi," kata Azlinda.

AARG juga bekerjasama dengan Majlis AIDS Malaysia, Agensi Dadah Kebangsaan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Penjara untuk membantu memberi pendedahan kepada semua pihak yang terlibat dalam berhadapan  dengan isu ini untuk memberi perkhidmatan yang berkesan kepada pesakit yang dijangkiti HIV/AIDS.

"Kami terlibat secara langsung dalam usaha membantu memberikan perkhidmatan psikososial kepada bekas banduan yang terlibat dengan penagihan dadah dan HIV/AIDS untuk memulakan hidup baharu," katanya lagi yang merupakan Penolong Setiausaha Majlis AIDS Malaysia yang turut banyak terlibat dalam perancangan tindakan strategik untuk menangani HIV/AIDS negara.

Selain itu, AARG turut terlibat dalam Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP) dan HIV/AIDS HOTLINE. Melalui NSEP, AARG menjadi perintis kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dengan mengedarkan jarum bersih kepada pengguna dadah di sekitar Pulau Pinang dan Perak.

"Usaha yang dilakukan oleh AARG menunjukkan perkembangan adalah memberangsangkan apabila statistik penagih dadah yang menggunakan jarum suntikan yang dijangkiti HIV/AIDS pada tahun 2006 telah berkurang daripada 75% kepada 24% pada tahun 2015," kata Azlinda lagi.

AARG juga meneruskan usaha membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis AIDS Malaysia serta bekerjasama dengan Klinik Kesihatan Jelutong, Ayer Hitam dan Butterworth untuk tujuan pendidikan dan bantuan sokongan kepada mereka yang terlibat.

“Manakala HIV/AIDS HOTLINE bertujuan memberi khidmat kaunseling dengan menyalurkan maklumat yang betul dan proses yang perlu dilakukan jika seseorang berasa diri mereka berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV/AIDS”, tambah Azlinda.

AARG juga menubuhkan kumpulan sokongan bagi membantu pesakit terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak yang dijangkiti HIV/AIDS melalui suami yang mengamalkan seks rambang dan suami yang menggunakan dadah secara suntikan.

"AARG akan terus berusaha membantu menangani isu ini apatah lagi dengan sokongan penuh  USM selama ini. Matlamat AARG ialah untuk membantu mengurangkan risiko jangkitan HIV/AIDS di Malaysia dan menjadikan USM sebagai satu entiti dan jenama yang prihatin dan sentiasa membantu memberi sumbangan melalui kekuatan ilmu dan kepakarannya kepada komuniti," kata Azlinda.

Teks: Aishah Hanis (pelajar internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 1209

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024