USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA DENGAN UOB LONJAK NAMA USM DI DUNIA

uob1

KUALA LUMPUR, 24 Feb.2016 – Kerjasama di antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan University of Bath (UoB), United Kingdom (UK) disifatkan dapat membentuk jaringan kolaborasi global yang memberi manfaat kepada bidang pendidikan tinggi. 

Jaringan yang dibuat melalui satu penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak itu dilihat menjadi perintis kepada kolaborasi secara lebih meluas khususnya dalam penawaran program-program akademik bertaraf global.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM kini sedang giat memperkasakan jaringan kerjasama global yang dapat membantu universiti tempatan khususnya USM meningkatkan pencapaian dan kecemerlangannya setanding negara-negara maju dunia.

Katanya, banyak perkara yang dapat dipelajari dan dicontohi dari institusi-institusi pengajian tinggi ternama dunia dan ia membantu USM dalam membangunkan satu sistem pendidikan tinggi yang holistik dan bercirikan global.

“MoU ini dimeterai tepat pada masanya untuk USM meluaskan kerjasama di peringkat global terutamanya universiti-universiti ternama dunia. 

"Melalui kerjasama seperti ini USM dapat berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam menawarkan program ijazah tingginya di samping berusaha untuk menawarkan program secara pesisir di pelbagai negara dunia,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kerjasama dalam membentuk "global collaborators" juga akan di laksanakan bertujuan untuk menghimpunkan ketua institusi pendidikan tinggi merentas benua ke USM dan UoB.

Omar berkata demikian ketika menerima kunjungan dan menandatangani MoU bersama rakan kolaborasi merangkap Pro Vice Chancellor UoB, Profesor Colin Grant di sini hari ini. 

Grant kini dalam rangka lawatan kerja ke beberapa institusi berkaitan pendidikan tinggi di negara ini dan USM adalah antara rakan kolaborasi yang akan meneruskan usaha ke arah memperincikan perbincangan dalam bidang-bidang tertentu yang memanfaatkan kedua-dua pihak.

Antara yang berpotensi dimajukan dengan kerjasama rentas benua ini meliputi bidang pembinaan berteknologi hijau, dasar-dasar awam, penyelidikan kanser, pengurusan pendidikan tinggi, resolusi keselamatan dan konflik, neurosains dan sebagainya.Teks: Marziana Mohamed Alias 

  • Created on .
  • Hits: 694

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024