USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, UNIVERSITY OF BATH RANCANG KERJASAMA PINTAR

arab3

PULAU PINANG, 23 Februari 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) sedang giat mengadakan rundingan bersama University of Bath (UoB), United Kingdom bagi merealisasikan hasrat mewujudkan kolaborasi membangunkan beberapa program akademik secara bersama.

Pro Vice-Chancellor UoB, Profesor Colin Grant berkata, pihaknya komited menyumbang kepakaran dan pengalaman bagi menjayakan hasrat kedua-dua universiti untuk meneroka potensi penyelidikan dasar awam, pengurusan pendidikan tinggi, kejuruteraan dan sebagainya secara bersama.

arab4

Tambah beliau, UoB sememangnya berpengalaman dalam bidang-bidang tersebut, malah turut mempunyai kekuatan dalam cabang ilmu yang lain seperti sains matematik, senibina, sains kimia, sains fizik dan sebagainya.

“Perbincangan bersama USM telah memperlihatkan potensi besar yang boleh diteliti secara mendalam. Lebih menarik, pembentangan peluang kerjasama ini bukan sekadar melihat kepada manfaat USM semata-mata, sebaliknya mengambil kira manfaat serantau.

“Ia secara tidak langsung memberi peluang keternampakan UoB dalam kalangan universiti di negara-negara Asean dan Timur Tengah. Pihak UoB akan membincangkan perkara ini secara lebih intensif bagi menjayakan hasrat kolaborasi ini,” jelasnya.

arab2

Beliau berkata demikian ketika ditemubual sempena lawatan ke USM bagi membincangkan peluang kerjasama yang akan dilakukan bersama USM, termasuk dalam memperkenalkan satu program unik, Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan dalam Pengurusan Pendidikan Tinggi (DBA in Higher Education Management) di sini hari ini.

Hadir mempengerusikan sesi lawatan kerja tersebut ialah Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Felo Penyelidikan, Research Internationalisation@USM, Profesor Dato’ Dr. V. Navaratnam dan pegawai-pegawai utama Universiti.

Ching Mey pula berkata, USM sentiasa berusaha untuk meningkatkan pencapaiannya dalam melebarkan sayap kolaborasi bersama rakan strategik di peringkat antarabangsa khususnya di benua Eropah.

Tambah beliau, banyak peluang penyelidikan berpotensi untuk dikembangkan dengan wujudnya jaringan di peringkat antarabangsa dan kerjasama bersama UoB adalah antara yang akan direalisasikan dalam masa terdekat.

arab1

Sementara itu, UoB disenaraikan dalam kelompok 10 universiti terbaik di UK dan mempunyai kekuatan dalam kedua-dua aspek iaitu penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran meliputi pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah.

Dalam perbincangan itu juga, UoB turut berminat untuk meneliti cadangan kerjasama membangunkan kursus jangka pendek dan pensijilan profesional yang memfokuskan kepada dasar awam melalui kerjasama dengan Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) USM.

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 811

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024