USM TANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN UNTUK PENYELIDIKAN PERDAMAIAN
TOKYO, JEPUN, 22 Februari 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan kerjasama dengan dua buah universiti di Jepun.
Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang dalam rangka lawatan kerja ke negara tersebut menandatanganinya dengan SOKA University dan TODA Institute for Global Peace and Policy Research di sini.
"MoU dengan SOKA University memberi tumpuan kepada mengadakan pertukaran pelajar, staf akademik dan penyelidikan bersama khususnya dalam penyelidikan perdamaian. SOKA University merupakan salah sebuah universiti Jepun yang diberi status sebagai 'super global university' oleh Kementerian Pelajaran Jepun," kata Omar.
Jelas beliau lagi, MoU dengan TODA Institute for Global Peace and Policy Research pula bertujuan untuk memperkukuhkan jaringan USM dalam bidang perdamaian terutamanya penyelidikan dalam isu perdamaian sejagat. TODA akan bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) USM mempromosikan perdamaian di rantau Asia Pasifik.
USM ialah universiti yang pertama menandatangani MOU dgn TODA Institute for Global Peace and Policy Research Jepun untuk tujuan sedemikian.
Dokumen MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden SOKA University Profesor Dr. Yoshihisa Baba manakala TODA Institute for Global Peace and Policy Research diwakili oleh wakil pengarahnya Profesor Dr. Joji Kaga.
"USM berbangga dan berharap kolaborasi seperti ini dapat mengukuhkan kedudukan di negara Jepun serta pada peringkat antarabangsa bukan sahaja dalam bidang Sains dan Teknologi tetapi juga dalam bidang Kesusasteraan dan Sains Sosial termasuk bidang perdamaian yang menjadi satu agenda utama dunia pada hari ini," kata Omar.
Yang turut hadir dalam penandatanganan dokumen MoU ini adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Pengarah Kolaborasi Antarabangsa Profesor Dr. Lee Keat Teong dan Pengarah CenPRIS Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Prof. Lee Keat Teong
- Created on .
- Hits: 1615