USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM KIMIA USM TERIMA AKREDITASI ROYAL SOCIETY OF CHEMISTRY UK

QK4C9437

PULAU PINANG, 22 Februari 2016 - Program ijazah Sarjana Muda Sains Kimia yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Sains Kimia (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) diberi sijil pengiktirafan akreditasi peringkat antarabangsa oleh Royal Society of Chemistry (RSC), United Kingdom baru-baru ini merangkumi  Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Kimia), Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan dengan Kepujian (Kimia Industri) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan dengan Kepujian (Kimia Analisis) yang melayakkan mereka mencapai pengiktirafan profesional sebagai Chartered Chemist (CChem).

RSC yang ditubuhkan pada 1980 adalah sebuah badan profesional berpengaruh yang dianggotai lebih 50,000 ahli dalam kalangan profesional dan saintis kimia dari seluruh dunia.

Dekan PPSK, Profesor Dr. Afidah Abdul Rahim berkata, pengiktirafan antarabangsa itu memberi impak yang cukup besar dalam memperkasa program akademik dan siswazah Sains Kimia USM untuk diterima di persada global.

Inisiatif untuk mengakreditasikan program peringkat prasiswazah Sains Kimia USM bermula pada penghujung tahun 2012 menerusi emel dengan pengurus Akreditasi Royal Society of Chemistry, Toby Underwood.

"Pada 2 November 2015, PPSK telah menerima kunjungan tiga orang penilai RSC masing-masing dari Universiti Malaya, Victoria University Wellington dan RSC sendiri untuk melakukan penyemakan dokumentasi dan silibus program, diikuti dengan perjumpaan bersama staf akademik serta sesi soal jawab temuramah dengan para pelajar serta lawatan ke makmal," katanya.

Katanya lagi, pengiktirafan ini juga dapat meningkatkan kebolehpasaran para pelajar USM yang mengikuti program Sains Kimia dan membolehkan mereka diterima  di seluruh dunia."Pelajar USM yang ingin ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajian akan lebih mudah diterima kerana akreditasi ini telah memberi satu nilai tambah kepada ijazah pertama yang mereka perolehi di USM," katanya.

Akreditasi untuk tempoh lima tahun bermula 2014-2020 itu telah disahkan dengan penerimaan sijil akreditasi pada Januari yang lalu.

QK4C945

USM mempunyai kira-kira 600 orang pelajar yang mengikuti ijazah Sains Kimia selama 4 tahun.

Menurut Afidah, pihaknya juga sedang giat menjalankan usaha kolaborasi  dengan universiti luar negara antaranya dengan universiti di Kanada  dan penawaran program sarjana berkembar dengan University  of Lorraine, Perancis sejak tahun 2002 dan Nagaoka University Of Technology (NUT) Jepun sejak tahun 2012.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Ng Yong Hang

  • Created on .
  • Hits: 1354

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024