USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

OKU BUKTI KEJAYAAN DALAM BIDANG KEUSAHAWANAN

oku 11

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Februari 2016 - Pusat Latihan Keusahawanan Dan Pemasaran Produk Orang Kurang Upaya (OKU), Bachok telah mengetengahkan potensi OKU dalam bidang perniagaan dengan memperkenalkan kedai untuk memasarkan produk OKU di Kelantan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan selaku Pengarah Projek Latihan Keusahawanan Dan Pemasaran Produk, Dr. Wan Faizah Wan Yusoff  berkata, golongan OKU kini bukan sahaja mampu menonjolkan kejayaan mereka sebagai pekerja tetapi turut berjaya menceburi bidang keusahawanan.

“Golongan ini begitu gigih dengan kesabaran yang tinggi apabila menceburi sesuatu bidang, dengan menjadikan apa yang dipandang sebagai kekurangan berbanding dengan orang lain bukan penghalang mengecapi kejayaan dan berjaya menangkis tanggapan segelintir masyarakat yang memandang rendah kepada mereka,” ujarnya.

oku 2

Menurut Wan Faizah, Pusat Latihan Keusahawan Dan Pemasaran Produk OKU ini memulakan operasinya pada 20 Februari lalu dan diuruskan sendiri oleh pelatih Program Latihan Pekerjaan OKU Universiti Sains Malaysia (USM) yang terdiri dari dalam kalangan OKU masalah pembelajaran, pekak, bisu dan cacat fizikal.

“Kesemua pelatih diberikan tanggungjawab untuk menguruskan kedai dan mereka dipantau oleh tenaga pengajar yang profesional,” jelasnya lagi.

Tambah Wan Faizah, cara ini sedikit sebanyak berupaya membina keyakinan diri OKU untuk bekerja menjana pendapatan sendiri tanpa mengharap bantuan orang lain.

oku 4

oku 3

Sementara itu, bagi pelatih Program Latihan Pekerjaan OKU USM, Rohana Hassan, 47, yang cacat sebelah kaki, kegigihan dan ketabahannya menjadikannya antara usahawan OKU yang berjaya dalam membuat makanan segera.

“Kecacatan yang dialami tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus berjuang demi menyara kehidupan empat orang anak serta bersedia untuk berkongsi ilmu dan resipi membuat makanan segera sekiranya ada yang berminat untuk mempelajarinya,” katanya.

Rohana berharap agar rakan senasib dengannya tidak berputus asa mencari sumber pendapatan kerana semangat dan usaha adalah kunci utama mengecapi kejayaan.

Teks: Anawiah Abdul Aziz / Foto: Mohd Hafiz Yaacob

  • Created on .
  • Hits: 1777

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024