USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MEMBUDAYAKAN KESUKARELAWANAN BELIA MENERUSI iM4U

im4u1

PULAU PINANG, 20 Februari 2016 - Program tahunan iM4U, 'Reach Out Convention & Celebration' bermula kembali pada Februari 2016 dan menjadikan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai lokasi sulung program ini dan berjaya menarik minat lebih 30,000 golongan belia sejak penubuhannya pada tahun 2013.

Siri pertama yang diadakan di USM pada hari ini dimeriahkan oleh David Edward Garcia, Dj Fuzz dan Davina Goh yang memberi ceramah motivasi yang  hebat dan membuatkan penonton tidak senang duduk serta diserikan dengan persembahan khas oleh artis terkenal tempatan  Elizabeth Tan, Kaka Azraff, Mark Adam dan Nastia yang menggamatkan seluruh dewan.

im4u2

im4u3

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein berkata, program sebegini dapat menimbulkan semangat kesukarelawan untuk golongan remaja, belia, siswa dan komuniti serta membuka minda mereka untuk belajar dalam keadaan lebih kondusif, aman dan damai.

"Semangat kesukarelawan bukanlah suatu yang dipaksa atau hanya untuk mendapatkan insentif semata-mata akan tetapi, ianya muncul dari keinginan dalaman individu yang memandu mereka untuk ikhlas dan bersemangat terhadap kesukarelawan itu sendiri.

 

"USM sentiasa memberi peluang untuk mana-mana badan luar yang ingin menganjurkan program bertujuan membina, membangun kebolehan para pelajar dan memberikan mereka untuk terus bergiat sebagai sukarelawan bukan sahaja hanya di USM tapi juga selepas pengajian masing-masing dan mencurahkan bakti buat negara," jelasnya yang menyampaikan ucapan alu-aluan.

Tambah Adnan, jika dibandingkan dengan IPT lain, USM adalah institusi yang paling banyak mendapat penajaan daripada iM4U.

"Berhibur dengan cara yang terkawal dan tidak melampaui had batas adalah sesuatu yang diperlukan oleh manusia dan USM sentiasa memberi ruang untuk berhibur dalam suasana sebegini dan diharap ianya memberi manfaat buat semua tanpa perkara buruk yang tidak diingini daripada berlaku.

"Pihak USM ingin berterima kasih kepada iM4U yang sentiasa memberi sokongan dan menganjurkan program kedua bersama USM ini di mana pada tahun lalu programnya melibatkan kesukarelawanan di Balik Pulau dan berharap untuk teruskan hubungan, jalinan dan kolaborasi sebegini di masa akan datang," ulas lanjutnya.

USM juga mempunyai hampir 15,000 ahli sukarelawan dalam kalangan pelajar untuk sebarang program kesukarelawanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif iM4U, Azlan Rudy Malik pula berkata, 2016 merupakan tahun keempat program Reach Out Convention & Celebration iM4U ini dan beliau berasa amat teruja kerana tokoh-tokoh industri dapat menyertai program tahun ini dan kejayaan ini akan menjadi sumber inspirasi golongan belia di Malaysia.

"Reach Out Convention & Celebration pada tahun ini akan mempersembahkan penceramah antarabangsa seperti Yahya Bakkar, David Edward Garcia, Jason Silva, Shame Feldman, A'ric Jackson yang juga disertai personaliti tempatan seperti Davina Goh, Dj Fuzz, Sona One dan Joe Flizzow," tambahnya.

iM4U adalah platform terkemuka sukarelawan di Malaysia yang dikenali sebagai pemangkin kuasa untuk melatih golongan belia menyertai aktiviti-aktiviti menarik, tidak konvensional dan penuh inspirasi yang mana bertujuan untuk membina masyarakat yang mampan dan menghasilkan bakal pemimpin pada masa akan datang.

Hampir 1,000 orang hadir ke program hari ini di Dewan Tuanku Syed Putra, USM.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 957

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024