MGFT PAMER HASIL KARYA UNIK ‘BRICOLAGE’
PULAU PINANG, 19 Februari 2016 – Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) membawakan hasil seni Bricolage yang bertajuk ‘Extending Ideas’ karya seniman daripada Malaysia dan German bermula 15 hingga 29 Februari 2016 di MGTF USM.
‘Bricolage’ yang merujuk kepada penciptaan sesebuah karya seni menggunakan apa sahaja bahan daripada sumber yang mudah diperolehi dengan menggunakan tangan dapat menghasilkan sesebuah karya seni yang unik.
Menurut Pengarah MGTF USM, Zolkurnian Hassan, pameran yang diadakan ini merupakan pertama kali yang diadakan di Pulau Pinang dengan kerjasama Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor serta Goethe Institute Malaysia.
“Sebanyak 20 karya Bricolage oleh dua anak seni tempatan iaitu Elias Yamani Ismail dan Eddie Choo Wen Yi serta dua daripada German Astrid Koppe dan Veronika Neukirch dipamerkan kepada para pengunjung di mana setiap karya yang dihasilkan banyak menggunakan sumber yang sering kita gunakan dalam kehidupan seharian kita,” jelasnya.
Tambah Zolkurnian, pameran ini mampu memberi kesan kepada pelawat khususnya pelajar dan penyelidik yang meminati kelainan dalam bidang seni.
"Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, USM berbangga kerana dapat menjadi penganjur kepada pameran yang dapat memberi inspirasi kepada pencinta karya seni dengan keunikannya yang tersendiri serta mampu memberi ilham kepada mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena perasmian pameran ini di sini, hari ini.
Yang hadir sama dalam majlis ini Dekan Pusat Pengajian Seni USM, Profesor Madya Omar Bidin.
Untuk maklumat lanjut mengenai pameran ‘Extending Ideas', orang ramai boleh menghubungi pihak MGTF USM di talian 04-653 4786 / 04-653 4789.
Teks: Syuhada Abdul Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 846