ANALISIS PEKERJAAN MANTAPKAN SPESIFIKASI BIDANG TUGAS
PULAU PINANG, 19 Feb. 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi institusi pertama di negara ini yang berjaya membangunkan pembangunan profil pekerjaan (job analysis) bagi memantapkan peranan kakitangannya seiring dengan spesifikasi bidang tugas masing-masing.
Pendaftarnya, Profesor Dr. Abdul Aziz Tajuddin berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada proses dalam agenda pembangunan bakat USM, selari dengan hasrat Program Pemacuan untuk Kecemerlangan sehingga 2020 (APEX 2020).
Katanya, USM akan melihat kembali profil bagi setiap kakitangannya melalui sistem berbentuk bancian yang dibangunkan oleh satu jawatankuasa khas yang turut dianggotai oleh pakar dan felo dari dalam Universiti dan luar negara.
“Matlamat utama dalam membangunkan sistem ini adalah untuk menyokong objektif strategik USM APEX 2020 bagi memupuk bakat yang relevan dan kompetetif yang dapat memenuhi keperluan negara serta mampu berdaya saing di peringkat global,” ujarnya.
Beliau ditemubual sejurus merasmikan Bengkel Profil Pekerjaan anjuran Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) di sini semalam.
Turut hadir ialah konsultan berpengalaman dan pakar dalam pembangunan sumber manusia dari Australia yang dijemput khas, Steve Barton.
Dalam pada itu, Pengarah Sumber Manusia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Profil Pekerjaan USM, Dr. Musa Ali pula berkata, peserta akan didedahkan dengan konsep bagaimana untuk melakukan analisis pekerjaan dan melihat kepentingan serta manfaatnya kepada organisasi.
“Pada keseluruhannya peserta akan didedahkan dengan konsep-konsep berkaitan dan mengaitkannya dengan visi dan misi Universiti. Selepas itu mereka akan mendapat faedah lebih jelas mengenai skop bidang tugas serta kemahiran yang diperlukan dalam setiap jabatan,” katanya.
Tambahnya lagi, sistem dalam talian yang dibangunkan dengan kerjasama Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT) turut mendapat perhatian dan USM dijemput untuk membentangkannya kepada agensi luar bagi menatapkan profil pekerjaan mereka.
Tambah beliau, pihaknya turut akan melatih beberapa kakitangan yang terpilih untuk menjadi auditor atau penilai bagi menganalisis maklumat yang dibekalkan menerusi bancian yang dibangunkan dalam sistem.
“Para penilai yang dilantik ini akan akan menganalisis maklumat yang dibekalkan dan jika ada mana-mana bahagian yang masih kurang jelas, penilai akan menjalankan proses tambahan termasuk menembual untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Musa juga berkata, penilai bukan sahaja berpeluang menjalankan tugas-tugas auditor dalam USM, sebaliknya boleh memperkembangkan bakat mereka dengan menilai agensi-agensi luar yang berminat membangunkan sistem seumpama ini di agensi mereka.
Teks: Marziana Mohamed Alia
Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1076