USM PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN UNIVERSITI JEPUN
TOKYO, JEPUN, 19 Februari 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuhkan usaha kolaborasi dengan universiti-universiti di negara Jepun apabila Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman mengadakan kunjungan ke sana sejak Selasa lalu untuk mengikuti the 3rd Council Meeting for the Promotion of Education and Research on Technology and Science di Tokyo, Jepun sebagai ahli majlis tersebut.
Majlis ini berperanan untuk menasihati beberapa buah universiti dan institut teknologi di Jepun melonjakkan keupayaan persaingannya di peringkat antarabangsa melalui program-program kerjasama yang dilakukannya.
Menurut Omar, kunjungan kali ini juga bertujuan mengukuhkan lagi kedudukan USM dalam rangka kerjasama Sains dan Teknologi dengan pelbagai institusi di sana.
Dalam kunjungan rasmi tersebut, Omar turut mempengerusikan mesyuarat pertama Jaringan Libat Sama Komuniti Asia Pasifik (APUCEN@Japan) yang dihadiri oleh lebih 20 orang ahli yang diadakan di Kyoto University of Foreign Studies (KUFS).
"Saya berterima kasih dan berbangga dengan pencapaian APUCEN@Japan yang dihoskan oleh Timbalan Pengerusi APUCEN Profesor Dr. Takeshi Matsuda yang juga Presiden KUFS dan kehadiran semua ahli. APUCEN sekarang mempunyai keahlian yang meningkat kepada 79 ahli dari 18 buah negara," kata Omar.
Dalam perjumpaan ini KUFS berkongsi usaha libat sama komuniti yang dilakukannya yang melibatkan staf dan pelajarnya di Kemboja untuk mendidik ibu bapa di sana terhadap pentingnya pendidikan kepada anak-anak sebagai satu usaha untuk keluar dari garis kemiskinan.Turut diketengahkan ialah TEDX@Kyoto yang menjadi platfom menyebarkan maklumat kepada komuniti yang banyak dilakukan di seluruh dunia untuk dimanfaatkan oleh APUCEN dalam menyebar luas maklumat.
Pada perjumpaan yang sama, USM turut dijemput menghantar wakil pelajar menghadiri the Japan University English Model United Nations (JUEMUN) 2016 yang akan berlangsung pada 24 - 26 Jun ini di KUFS yang membolehkan peserta mengikuti pelbagai acara dan merasai sebagai sebahagian dari komuniti global seperti di dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Di samping itu, usaha juga dibuat untuk menjayakan penubuhan APUCEN Student Chapter@University melalui cadangan USM sebagai usaha mendorong pelajar dari pelbagai institusi untuk berganding bahu dalam pertukaran, kolaborasi dan pendidikan dalam libat sama komuniti yang diterima baik oleh ahli-ahli.
"Turut dibincangkan ialah cadangan penubuhan jawatankuasa dan agenda untuk menganjurkan Persidangan APUCEN yang akan datang di Kyoto Jepun serta berkongsi pengalaman, kelestarian kewangan dan peranan ahli akademik dalam libat sama komuniti," kata Omar.
Naib Canselor USM yang disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato' Dr. Susie See Ching Mey dan Pengarah Kolaborasi Antarabangsa Profesor Dr. Lee Keat Teong turut mengunjungi ibu pejabat dan kilang Toray Corporation yang merupakan rakan strategik utama yang menyumbangkan RM4 juta untuk pembinaan Toray-USM Knowledge Transfer Centre, Kyoto University of Foreign Studies (KUFS), Kyoto – USM and KUFS menubuhkan KUFS-USM Japanese Culture Centre di USM, Kyoto University Kyoto, Hiroshima City University (HCU), Hiroshima University Hiroshima, Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) Tokyo, Soka University Tokyo dan Toda Institute of Peace Tokyo untuk kolaborasi penyelidikan.
Omar juga dijangka turut mengunjungi Institut Penyelidikan RIKEN Tokyo yang mempunyai kerjasama rapat dengan USM dan Toyohashi University of Technology (TUT) Tokyo serta mengadakan perjumpaan dengan alumni USM di Jepun untuk mengukuhkan jaringan alumni global.
Teks: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1034