USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

POPULASI SPESIS IKAN TASIK TEMENGGOR KIAN BERKURANG – AMIR SHAH RUDDIN MD SHAH

PULAU PINANG, 17 Februari 2016 - Satu kajian mengenai ikan di empangan Tasik Temenggor dalam Taman Negeri Royal Belum Perak baru-baru ini oleh kumpulan penyelidik dan pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menentukan kepelbagaian, banyaknya dan pengagihan telah mendapati populasi kehidupan spesis ikan sedikit sebanyak kian terancam.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Dr. Amir Shah Ruddin Md Shah berkata, setakat ini, dalam kajian yang dilaksanakan telah berjaya merekodkan sebanyak 23 spesis ikan dan akan terus membuat pemantauan ikan mengikut masa bagi melihat keadaan dan persekitaran serta juga kesihatan ikan berdasarkan kepada faktor keadaan ikan-ikan.

“Dari segi signifikan kajian ini pula, kami mendapati bahawa ikan yang bernilai komersil semakin berkurang manakala populasi ikan juga mengalami proses menunjukkan penurunan saiz di mana ikan bersaiz kecil makin banyak ditemui berbanding ikan besar,” jelasnya.

Tambahnya lagi, ini menunjukkan recruitment dalam tasik ini semakin pendek disebabkan kehilangan ikan-ikan induk untuk menghasilkan benih berkekalan secara tidak langsung menunjukkan Jabatan Perikanan yang terlibat terpaksa melakukan aktiviti penstokan ikan secara berterusan bagi mengekalkan kehadiran populasi ikan di dalam tasik empangan Temenggor ini di mana ikan-ikan ini boleh digunakan oleh penduduk tempatan terutamanya orang asli sebagai sumber protein utama mereka.

"Set jaring akan direndam semalaman di kawasan rawak dalam kawasan persekitaran kajian, jaring akan diambil pada waktu pagi dan ikan yang ditangkap akan dikenal pasti, diukur dan direkodkan manakala tabiat makan spesis ikan terpilih juga telah dijalankan di samping menggunakan analisis FiSAT untuk tujuan pengurusan perikanan," ujarnya lagi.

Ikan baru yang direkod akan diawet dalam formalin 10% untuk dijadikan spesimen dan akan disimpan di Rujukan Biodiversiti dan Deposit di PPSK USM.

Ekspedisi ini melibatkan 23 staf dan 25 pelajar manakala sebanyak 10 projek penyampelan dan penyelidikan oleh PPSK diadakan sepanjang ekspedisi 5 hari ini yang antaranya melibatkan kajian di kawasan ekosistem darat dan air.

Ekspedisi ini juga mendapat kerjasama dari Taman Negara Perak.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1128

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024