“AMPHIBIOUS RESILIENT HOUSE” - INOVASI KETIKA BENCANA BANJIR
PULAU PINANG, 17 Februari 2016 - Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) telah mengharumkan nama Universiti Sains Malaysia (USM) apabila pelajarnya memenangi beberapa kategori dalam pertandingan Autodesk Malaysia Design Competition (AMDC) baru-baru ini anjuran bersama Autodesk, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Prestariang.
Tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Seni Bina (Architecture), Pembuatan (Manufacturing) dan Animasi (Animation) disertai oleh pelbagai institusi pendidikan di Malaysia dan USM telah mendapat tempat pertama dalam dua kategori peringkat maju (advance) iaitu dalam kategori Pembuatan dan juga Seni Bina.
Pemenang kategori Seni Bina, Muhammad Nazli melalui reka ciptanya bertajuk “Amphibious Resilient House” berkata, kejayaan ini memberi semangat dan dorongan kepadanya dan rakan-rakan untuk terus berusaha menyumbang kepada USM.
“Untuk kategori Seni Bina, kami diminta untuk mereka cipta satu habitat yang tidak melebihi 40 meter persegi dan melibatkan konsep 'smart design'. Untuk reka bentuk pada tahun ini, AMDC meminta kami mereka cipta sebuah habitat/rumah yang dapat menempatkan golongan gelandangan, warga emas dan sebagainya di dalamnya,” kata pelajar Tahun 2 ini.
Tambah Nazli, inspirasi untuk idea mereka cipta rumah ini adalah berdasarkan contoh terdekat di Malaysia iaitu di negeri Kelantan yang saban tahun berlaku musibah banjir menyebabkan berlakunya kemusnahan yang teruk. Dari perspektif itu Nazli memberi idea yang dapat memudahkan penduduk menyelamatkan kediaman masing-masing ketika berlakunya banjir.
“Amphibious Resilient House” / Rumah terapung ini boleh terapung dan dibina dari bahan kitar semula. Konsep rumah terapung ini bukanlah sesuatu yang baru diperkenalkan yang sangat berguna ketika berlaku banjir.
“Dengan penggunaan container dan sistem pontoon daripada bahan kitar semula sebagai sistem pengapungan, rumah ini dapat terapung apabila paras air mulai naik sesuai dengan namanya yang menggambarkan fungsi rumah ini yang boleh ‘hidup’ di atas darat dan air,” jelasnya.
Jelasnya lagi, dari apa yang dipelajari beliau di PPPBP, Nazli dan rakan-rakan diajar untuk menerapkan elemen kelestarian di dalam setiap reka bentuk mahu pun dari aspek material, kos dan jangka hayat Seni Bina serta binaan juga mestilah suatu yang praktikal dan menyenangkan para pengguna.
Bagi penerapan konsep hijau (green), panel solar bersepadu juga diletakkan di bumbung rumah ini untuk menggalakkan kecekapan tenaga dan tingkap yang besar dipasang untuk penyejukan yang lebih baik kepada penghuni.
“Terdapat 3 jenis rumah yang dicadangkan iaitu Jenis A - rumah keluarga yang boleh memuatkan 4 orang yang mempunyai 2 unit katil queen dengan penerapan compact living'. Jenis B pula rumah yang boleh memuatkan 5 orang yang mempunyai 1 unit katil queen dan 3 single juga menerapkan konsep compact living dan Jenis C iaitu rumah komuniti yang menempatkan homeless/old/retired yang mana terdapat 2 bilik dan 6 unit katil single yang juga menerapkan konsep compact living.
“Compact living yang diterapkan di sini bermaksud untuk penjimatan ruang dengan setiap ruang yang ada boleh dijadikan pelbagai guna ataupun multifunction sebagai contoh, ruang tamu boleh diubah kepada ruang tidur kerana katilnya dapat dialih,” beritahunya lagi.
Selaku pemenang, Nazli menerima wang tunai sebanyak RM2,000 dan lawatan ke Autodesk Panorama 2016 manakala tempat kedua bagi kategori ini yang juga digondol oleh pelajar dari USM iaitu Muhamad Azriwan Ramli melalui reka ciptanya “Amphibious Temporary House” dan tempat ketiga dimenangi oleh pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Seramai 67 orang pelajar PPPBP mengambil bahagian dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan ini dan penasihat akademik bagi pelajar USM ini ialah pensyarah PPPBP Prof. Dr. Ahmad Sanusi Hassan.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Muhammad Nazli
- Created on .
- Hits: 1056