DARI USM KE BENUA ANTARTIKA, DEMI KELANGSUNGAN BIODIVERSITI
PULAU PINANG, 17 Februari 2016 - Perasaan gembira dan bersyukur lahir jauh dari lubuk hati para ahli ekspedisi ke Antartika yang tiba di tanah air tercinta Malaysia pada jam 3:15 petang hari Ahad 14 Januari 2016.
Demikian luahan oleh ahli ekspedisi yang juga merupakan pelajar Sarjana Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM), Muhamad Hilal Mohd Zainudin, 26.
Menurut Hilal, ekspedisi berliku selama 22 hari ini bermula dari pelabuhan Bandar Ushuaia di Argentina yang jaraknya lebih kurang 1,000 kilometer dari Antartika.
"Kami menyusuri untuk ke semenanjung Antartika (Antarctic Peninsula) dari King George Island sehingga ke selatan di Darboux Island yang mana ekspedisi ini menggunakan kapal Yacht yang diberi nama "AUSTRALIS" yang panjangnya 23 meter," katanya.
Pun begitu katanya, cabaran utama yang ditempuhi adalah apabila kapal ini merentasi 'Drake Passage' sebelum tiba ke Antartika di mana kawasan tersebut terkenal dengan keadaan laut yang ganas dan bergelora.
'Drake Passage' mempunyai dua keadaan iaitu "the Drake Lake" dalam keadaan tenang dan "the Drake Shake" dalam keadaan laut yang bergelora dan ganas.
"Nasib tidak menyebelahi kami apabila kami mengalami 'Drake Shake' semasa waktu bertolak dan pulang di mana ombak mencecah sehingga ketinggian 8 meter ketika kami meredah 'Drake Passage' dan boleh dikatakan adakalanya kapal kami berada pada kedudukan 45 darjah menyenget dan ini membuatkan kami sukar melakukan aktiviti dan rutin harian di atas kapal disebabkan soal keselamatan yang perlu dijaga ketika berada di 'Drake Passage' ini.
"Kami meredah laluan 'Drake Passage' selama lebih kurang 3 hari untuk sampai ke Antartika dan cubaan pertama untuk ke Antartika tidak berjaya kerana keadaan angin kencang dan lautan bergelora selama 15 jam dan kami mengambil keputusan berpatah balik ke Puerto Williams, Chile dan mengambil masa 2 hari untuk berteduh dan menunggu keadaan cuaca kembali baik untuk kapal kami berlayar semula sebelum tiba di Antartika," beritahunya.
Antara cabaran-cabaran lain yang ditempuhi adalah untuk menyesuaikan keadaan kapal, persekitaran sekeliling seperti cuaca yang sejuk kering di Antartika serta keadaan laut bagi memudahkan kerja-kerja penyelidikan untuk mencapai objektif utama ekspedisi ini.
Hilal juga berkongsi tentang pengalaman pahit beliau di mana hampir diserang 3 kali oleh burung Brown Skua kerana beliau menghampiri sarang burung tersebut ketika hendak melintasi dari satu kawasan ke kawasan lain untuk aktiviti persampelan manakala pengalaman manis pula ialah dapat melihat keindahan benua Antartika dari sudut pandang terhadap gunung ganang, hidupan liar seperti penguin, tumbuh-tumbuhan yang hidup di tempat sejuk dan landskap geografi indah yang sukar dirasai dan diperolehi oleh semua manusia di mana-mana tempat lain selain Antartika.
"Di Antartika, tugasan saya ialah mengutip sampel sedimen dan air iaitu untuk kajian komposisi, taburan polar marine microalgae dan juga melihat aktiviti fotosintesis serta strategi adaptasi polar marine microalgae di lapangan semula jadi ini," jelas pelajar dari Johor itu.
Ulas lanjutnya, kajian ke polar (antartika dan artik) oleh ahli dari USM bukanlah perkara baru kerana USM telah menghantar penyelidik ke polar sebelum ini dan beliau berharap program sebegini akan diteruskan dan ada pelajar USM lain diberi peluang sekali dalam seumur hidup seperti ini untuk membuat kajian di sana pada masa akan datang.
"Masih terlalu awal untuk melihat impak dan hasil kajian untuk ekspedisi ini, dan untuk kajian yang akan saya lakukan, ianya melibatkan perbandingan juga di bahagian tropika di mana dapatan awal kajian saya ini akan dibentangkan di SCAR 2016 (The Scientific Committee on Antarctic Research) pada akhir bulan Ogos ini yang mana Kuala Lumpur menjadi tuan rumahnya.
"Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Penyelia, Dr. Mahadi Mohammad dan Dr. Sazlina Salleh kerana memberi kepercayaan dan memberi saya peluang untuk menyertai ekspedisi ini yang mana dapatan kajian ini adalah sebahagian tesis sarjana saya, dan juga CEMACS USM yang memberi platform untuk saya sertai ekspedisi ini serta juga rakan-rakan taulan di USM yang tidak putus memberi sokongan dan bantuan sebelum dan semasa ekspedisi ini berlangsung," ujarnya.
Ekspedisi ini disertai seramai 8 orang yang terdiri daripada 2 pelajar sarjana dan 6 pensyarah daripada 6 universiti berlainan dan 2 ahli daripada keseluruhan ahli ekspedisi adalah dari USM iaitu saya dan Dr. Foong Swee Yeok dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat.
Ekspedisi ini adalah anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan diselaraskan oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Universiti Malaya dan juga kerjasama daripada beberapa agensi antarabangsa seperti International Center for Space Weather Science and Education (ICSWSE), Kyushu University, Korean Polar Research Institute (KOPRI) dan University of Cambridge, UK.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1204