RAKAN MASJID USM BANTU BINA TAHFIZ DAN SAUDARA BARU
KUBANG KERIAN, 15 Februari 2016 – Rakan Masjid Pusat Islam Kampus Kesihatan mengadakan Konsert Kembara Bayu Syahadah melalui kolaborasi dengan Nazrey Johani Management untuk mengutip dana pembinaan Al-Tahfiz Bayu Syahadah, Kampung Bintong, Ranau Sabah sambil menyampaikan mesej mendekatkan masyarakat dengan nilai-nilai murni agama.
Menurut Presiden Rakan Masjid Kampus Kesihatan Muhammad Firdaus Abd Rahman, konsert ini adalah salah satu cara untuk mendekati pelajar serta warga kampus dalam menyebarkan ilmu agama kerana dengan menjemput penyanyi yang dikenali ramai akan lebih mudah menarik minat terhadap mesej yang disampaikan.
Pelajar Bioperubatan Tahun 3 itu berkata, ini adalah usaha murni untuk memanfaatkan seni hiburan dalam menyampaikan mesej dan membantu pihak lain untuk memberikan pilihan dalam menikmati hiburan yang sesuai dengan fitrah manusia serta sebagai satu kaedah dakwah dan tarikan untuk mendekati agama.
Konsert yang diadakan di Dewan Utama Kampus Kesihatan itu turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Islam mewakili Pengarah Kampus iaitu Profesor Madya Dr. Wan Nudri Wan Daud.
Menurut Wan Nudri, pihaknya menyokong usaha ini untuk membantu mengutip dana bagi pembinaan kompleks Al-Tahfiz Bayu Syahadah yang telah memulakan pengajian tetapi asrama belum siap selain daripada bantuan kepada saudara baru yang memerlukan di samping menyampaikan mesej keagamaan melalui seni hiburan.
Konsert yang menampilkan bekas vokalis Kumpulan Raihan Nazrey Johani dihadiri oleh kira-kitai 300 orang penonton.
“Saya berterima kasih kepada USM yang bekerjasama mengadakan konsert ini untuk bersama-sama membantu menyebarkan dakwah serta mengumpul dana bagi pembinaan maahad tahfiz dan membantu saudara baru,” kata Nazrey.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Hafiz Yaacob
- Created on .
- Hits: 994