USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

10 PELAJAR GAC AMERIKA SYARIKAT HARGAI PELUANG TIMBA ILMU DI USM SELAMA SATU SEMESTER

 was3433

PULAU PINANG, 15 Februari 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima seramai 10 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda dari Gustavus Adolphus College (GAC), Amerika Syarikat hasil usahasama erat USM dengan GAC dan telah julung kali dibuat dengan jayanya pada 2014.

Mereka merupakan kumpulan kedua pelajar dari GAC yang mengikuti pengajian selama satu semester di USM mulai 11 Februari hingga 31 Mei 2016.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, GAC dan USM telah bekerjasama semenjak tahun 1990 lagi dan berfokuskan kepada kebudayaan Malaysia untuk diperkenalkan di peringkat antarabangsa.

“Selama satu semester mereka di USM, sebanyak empat modul akan diperkenalkan merangkumi Ekologi Tropika, Kebudayaan dan Bahasa Melayu, Keagamaan di Malaysia dan Kepelbagaian Cara Hidup,” katanya ketika berucap dalam satu majlis mengalu-alukan kedatangan pelajar-pelajar GAC itu di sini, hari ini.

Yang hadir sama dalam majlis tersebut, Dekan Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Balakrishnan Abdullah; Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Profesor Dr. Tengku Sepora Tengku Mahadi; Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Profesor Dr. Azlinda Azman; Penyelaras Program GAC Profesor Madya Dr. Joel Carlin; Penyelaras Program USM Ajindar Kaur Banta Singh; penyelaras modul dan tenaga pengajar.

Tambah Ahmad Shukri lagi, diharap program seperti ini dapat mengeratkan hubungan kedua-dua institusi pengajian selain dapat mengembangkan kebudayaan di Malaysia di mata dunia.

usa2

Bagi pelajar dari GAC, Zackery Allison, 21, pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia, terasa sedikit kejutan budaya kerana kepelbagaian budaya dan melihat Malaysia sebuah negara yang lebih cantik daripada USA.

“Saya menikmati makanan dan pemandangan di Malaysia serta rakan-rakan Malaysia sangat prihatin dan bersopan santun dalam setiap perkara yang dilakukan dan tentu sahaja peluang sebegini amat berfaedah bagi pelajar seperti saya untuk lebih mengenali dan mempelajari tradisi, kebudayaan, mendekati serta mengenali kehidupan harian rakyat Malaysia,” katanya yang kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang kajian alam sekitar.

usa1

Rakannya, Emma Schmidtke, 20, yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam pengkhususan Bahasa Inggeris  turut mengakui Malaysia merupakan negara yang indah dan banyak tempat-tempat untuk dilawati selain melahirkan rasa bangga dapat ke USM yang disifatkan sebagai universiti berkelas dunia.

“Saya gembira berada di Malaysia dengan persekitaran yang sememangnya mengagumkan,” kata anak muda yang berasal dari Minnesota itu lagi.

usa3

Pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik, Lily Whitney-Eliason, 21, turut memberitahu dia sangat selesa dan berterima kasih kepada pihak USM yang menyediakan fasiliti terbaik sepanjang tempoh berada di Malaysia.

“Saya tidak berasa janggal berada di Malaysia dan seakan-akan berada di negara sendiri dengan kemudahan dan persekitaran yang selesa. Saya harap pengembaraan kami ke Malaysia akan membolehkan kami menimba pelbagai pengalaman dan mempelajari perkara baru,” tambahnya lagi.

Teks: Syuhada Abd Aziz & Nandhini A/P Thiaga / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1125

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024