PENEROKAAN BIODIVERSITI SAMBIL BERKHIDMAT KEPADA KOMUNITI ORANG ASLI
PULAU PINANG, 12 Februari 2016 - Sekumpulan penyelidik bersama pelajar-pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan ekspedisi penerokaan biodiversiti di Hutan Royal Belum, Gerik Perak pada minggu yang lalu selama 5 hari.
Ekspedisi jauh ke dalam Hutan Royal Belum ini juga diserikan dengan program khidmat komuniti bersama masyarakat orang asli Perkampungan Aman Damai dan perlu dilalui dengan menggunakan bot sebagai pengangkutan utama untuk membawa kumpulan ini ke lokasi-lokasi terbabit.Dekan PPSK, Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Balakrishnan Abdullah berkata, ekspedisi kali ini bukan hanya berfokus semata-mata dalam melakukan kerja saintifik dan penerokaan biodiversiti akan tetapi ditambah dengan program bertemu komuniti masyarakat perkampungan Aman Damai serta menghulurkan sumbangan berupa beras dan makanan harian.
"Ini merupakan langkah pertama diambil oleh PPSK dalam menjalankan ekspedisi di lapangan yang menggabungkan juga elemen program bersama komuniti sebegini yang dianggap mempunyai impak," jelasnya.
Perkampungan Aman Damai terletak di atas sebuah pulau di dalam Hutan Royal Belum dan kadang-kala perkampungan ini akan dinaiki air apabila berlaku kenaikan paras air sungai.
Rata-rata penduduk kampung seramai lebih 20 orang ini dan juga ketuanya melahirkan rasa bersyukur dan kegembiraan atas bantuan yang dihulurkan oleh USM bagi meringankan beban mereka untuk meneruskan kehidupan seharian.
Ekspedisi ini melibatkan 23 staf dan 25 pelajar manakala sebanyak 10 projek penyampelan dan penyelidikan oleh PPSK diadakan sepanjang ekspedisi 5 hari ini yang antaranya melibatkan kajian di kawasan ekosistem darat dan air.
Ekspedisi ini juga mendapat kerjasama dari Taman Negara Perak.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Ahmad Zulman Mohd Zain
- Created on .
- Hits: 897