USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGASAS PUSAT PENGAJIAN SAINS PERGIGIAN USM TEMPA NAMA DI UAE

IMG 46905678

PULAU PINANG, 12 Februari 2016 – Melihat riak wajahnya yang sentiasa murah dengan senyuman dan seorang yang begitu merendah diri, membayangkan kemesraan mantan Dekan yang juga pengasas Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Ab. Rani Samsudin, 57, kini adalah Pengarah Pergigian Hospital University of Sharjah, Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Bercerita pengalamannya dalam mengasas PPSG USM, beliau berkata, kerjasama yang erat bersama-sama rakan akademik di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian telah berjaya membina PPSG pada tahun 1998.

“Kita berjaya mengambil pelajar pada tahun 1999 seramai 38 orang kumpulan pertama untuk program Sarjana Muda Pembedahan Pergigian yang telah berjaya menamatkan pelajaran dan bergraduasi pada tahun 2006,” katanya ditemui selepas majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara USM dan Meichen Quanmin (Shandong) Hospital Investment Co. Ltd (MEICHEN), China di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, pengambilan pelajar kian meningkat dari tahun ke tahun dan PPSG telah meneroka bidang penyelidikan dan berjaya membina makmal penyelidikan dan mengembangkan perkhidmatan komuniti dalam sektor pergigian di negeri Kelantan.

Berhijrah ke UAE pada tahun 2007 telah membuka lembaran baru dalam hidupnya apabila ditawarkan untuk mengasas Fakulti Sains Pergigian di University Of Sharjah.

“Pada ketika itu, saya menghadapi cabaran besar apabila di universiti tersebut tiada Pusat Pengajian Sains Perubatan dan untuk membina sesebuah Fakulti Pergigian, Sains Perubatan merupakan satu platfom asasnya,” tegasnya.

Namun bagi Ab. Rani, segalanya dapat diatasinya hasil pengalamannya membina Pusat Pengajian di USM. Beliau berjaya membina polisi dan kurikulum pembelajaran berasaskan Pengajian Sains Kesihatan Australia. 

“Cabaran di UAE ialah kerana sebagai  negara yang muda dalam sektor kesihatan, masih banyak polisi yang belum mantap yang memerlukan hubungan baik dengan sektor awam seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Tinggi dengan melihat hala tuju negara dalam kedua-dua bidang tersebut serta aspirasi negara itu untuk membina sektor kesihatan.
 
“Selama 10 tahun di sana, saya menyedari, nilai wang bukanlah perkara utama untuk membina penyelidikan yang baik, tetapi bakat seseorang dinilai dengan menjadi seorang yang berjaya dan seterusnya dapat membina kehidupan yang sempurna,” katanya yang kini adalah juga profesor kunjungan di PPSG USM.

Beliau akan meluangkan masa selama tiga bulan setiap tahun untuk pulang ke PPSG USM dalam mendidik pelajar-pelajar Sains Pergigian selain turut menjadi penyelia kepada pelajar ijazah tinggi.

“Apabila saya di UAE, saya menyedari bakat yang saya ada ini masih belum cukup dianggap cemerlang dan perlu bekerja dengan lebih kuat kerana saya sudah lihat kecemerlangan di peringkat dunia dan sebab itulah saya sentiasa menjaga hubungan dengan PPSG dan sentiasa menasihati pelajar-pelajar di PPSG supaya dapat menempa nama di peringkat antarabangsa,” kata bapa kepada tiga orang cahaya mata ini.

Katanya lagi, bidang pergigian di negara ini antara yang termaju dan terbaik di dunia hasil daripada usaha Kementerian Kesihatan yang memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat dan juga universiti tempatan yang menghasilkan doktor gigi yang berkompeten tinggi.

“Nasihat saya, bagi penuntut-penuntut di universiti, kita mesti belajar dengan bersungguh-sungguh dan menjadi yang terbaik kerana universiti adalah sebuah tempat untuk mencari ilmu dan tamat belajar kelak menjadi permulaan kehidupan dengan berusaha mencari peluang dan kepakaran supaya dapat bersaing di peringkat global,” tegas Ab. Rani.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 5389

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024