USM PERLUAS KEPAKARAN PERGIGIAN KE CHINA
PULAU PINANG, 12 Februari 2016 – Kecemerlangan akademik dan kepakaran dalam bidang pergigian membolehkan Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf dan dipilih bagi melatih doktor-doktor gigi dari Meichen Quanmin (Shandong) Hospital Investment Co. Ltd. (MEICHEN), China.
Kolaborasi pintar itu dibuat melalui satu penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) yang membolehkan kerjasama strategik tersebut dapat diperluas dan mampu melatih lebih ramai doktor pakar pergigian di China.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, kerjasama tersebut yang dimulakan pada tahun lalu berupaya melatih beberapa doktor gigi dari negara China untuk memperkasa perkhidmatan dan membantu meningkatkan tahap kepakaran mereka.
Selain itu katanya, USM turut menghantar pakar-pakar pergigian tempatan ke China bagi memberikan tunjuk ajar secara hands-on selain berkongsi kepakaran dengan lebih ramai pelatih di hospital berkenaan.
“Kita juga melihat kemungkinan untuk mewujudkan pusat latihan secara bersama di China yang membolehkan kedua-dua pihak memperoleh manfaat, dan membuka peluang latihan kepada doktor gigi dari negara lain yang berminat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penandatangan MoU berkenaan di sini hari ini. MEICHEN diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Liu Yuguang.
Yang hadir sama ke majlis tersebut ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) USM, Profesor Dr. Adam Husein dan Mantan Dekan Sulung PPSP yang kini bertugas sebagai Pengarah Pergigian Hospital University of Sharjah, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Profesor Dato’ Dr. Ab. Rani Samsudin.
Tambah Omar, kerjasama ini turut bermatlamat memperkasa program pendidikan dan program pembangunan untuk golongan doktor dan profesional, pertukaran staf klinikal, pelajar dan sebagainya.
Dalam pada itu, Liu Yuguang pula berkata, permintaan terhadap perkhidmatan rawatan pergigian di China semakin bertambah seiring dengan perkembangan semasa di negara berkenaan.
“Jika dahulu rawatan pergigian hanya diminta dan diberikan kepada golongan berada namun kini ia menjadi satu perkhidmatan yang diinginkan oleh segenap lapisan masyarakat.
“Sudah tentunya permintaan terhadap perkhidmatan doktor gigi semakin bertambah dan kami perlu melatih lebih ramai doktor gigi bagi membolehkan mereka memberi rawatan terbaik untuk masyarakat di sana,” ujar beliau.
Beliau turut menyuarakan rasa teruja dapat bekerjasama dengan USM yang disifatkan sebagai antara Universiti yang ternama di negara ini.
“Kolaborasi ini diharap akan dapat mendatangkan lebih banyak peluang kerjasama di antara kedua-dua pihak. Ia turut berupaya mengeratkan hubungan di antara Malaysia dengan China,” katanya.
Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1453