USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

OKU INTELEK BUKTI KEJAYAAN

IMG 20160211 WA0066

KUBANG KERIAN, 11 Februari 2016 – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut baik hasrat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menyumbangkan sebuah van bagi merealisasikan Program Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU) serta membantu mengupayakan kebolehan golongan ini.

Pengerusi Program Sains Senaman & Sukan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), USM merangkap Ketua Program Cakna OKU Negeri Kelantan Profesor Madya Dr. Mohamed Saat Ismail berkata, PDK Kampus Kesihatan USM berbesar hati menerima sumbangan pertubuhan luar untuk membantu golongan OKU.

“PDK Kampus Kesihatan bakal menerima sumbangan sebuah van untuk kemudahan pelatih yang menjalani projek pertanian komersil OKU intelek bagi menjana pendapatan dengan menjual hasil tani mereka.

“Pendapatan yang diperoleh nanti bukan sahaja mampu menjana pendapatan kepada PDK itu sendiri tetapi juga akan digunakan untuk membayar insentif kepada pelatih,” katanya.

Tambahnya, PDK Kampus Kesihatan merupakan yang pertama di Malaysia yang diwujudkan di universiti yang menjalankan beberapa aktiviti pertanian seperti penanaman betik hybrid, semaian polybag, hydroponic serta tanah campuran bagi tujuan jualan.

“Usaha sebegini adalah untuk menonjolkan kebolehan OKU intelek yang mampu berdikari jika diberi peluang serta membuktikan boleh ditukar status daripada liabiliti kepada produktiviti,” ujarnya lagi.

Mohamed Saat berharap agar lebih banyak NGO tampil menghulurkan bantuan kepada golongan ini mengubah taraf hidup mereka.

“Kesedaran masyarakat mengenai potensi dan kebolehan OKU masih lagi rendah dalam menggilap bakat golongan ini,” katanya ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga pelatih OKU Intelek yang rumahnya hangus dijilat api dalam kebakaran baru-baru ini.

Menurut Mohamed Saat lagi, Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek juga membuktikan golongan OKU mampu membuat transformasi dari ‘Zero to Hero’ yang menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 1057

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024