USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA USM PRIHATIN NASIB OKU

IMG 20160211 WA0023

KUBANG KERIAN, 11 Febuari 2016 - Mohd Hezzrin Mohd Khair Juhari, 21, merupakan pelatih  Program Latihan Pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) Intelek anjuran Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang menerima sijil dalam Majlis Graduasi yang telah diadakan baru-baru ini. 

Rumah anak kelima daripada lapan orang adik-beradik ini yang telah kehilangan bapa pada Jun 2015 terbakar dalam kejadian pada 12 Januari lalu yang musnah seluruhnya dan tiada barangan keperluan dapat diselamatkan.

Warga USM yang cakna dan prihatin membuat kutipan derma bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa dan keluarga menerusi Jawatankuasa Latihan Pekerjaan OKU Intelek PPSK dengan pelbagai sumbangan diterima dari warga kampus, syarikat dan orang ramai.

IMG 20160211 WA0021

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Program Sains Senaman Dan Sukan merangkap Ketua Program Cakna OKU Negeri Kelantan, Profesor Madya Dr. Mohamed Saat Hj. Ismail.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Latihan Pekerjaan OKU Intelek, Dr. Mohd Zulkifli Abd Rahim serta ahli jawatankuasa Latihan Pekerjaan OKU Intelek PPSK.

Menurut ibu mangsa, Zaleha Zainal Abidin, 55, kejadian berlaku kira-kira  jam 1.30 pagi ketika dia berada di rumah salah seorang anaknya di Kuala Lumpur dan hanya Mohd Hezzrin bersama adik, adik ipar dan anak saudara yang berumur 10 bulan berada di rumah dan sedang tidur.

“Saya langsung tidak menyangka tragedi sebegini menimpa keluarga kami namun bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan mahu pun kehilangan nyawa," katanya.

IMG 20160211 WA0022

Selain daripada rumah dan peralatan, yang turut terbakar adalah sebuah kereta serta motosikal peninggalan arwah suaminya di samping sijil serta gambar-gambar semasa majlis graduasi Mohd Hezzrin.

Zaleha yang mencari nafkah menjual nasi serta kuih-muih setiap pagi selain jualan kuih sepanjang Ramadhan dan biskut hari raya amat sedih dengan tragedi ini.

“Saya bersyukur kerana mendapat sumbangan daripada pihak USM di samping pelbagai pihak yang memberi barangan seperti peti sejuk dan lain-lain di samping wang tunai," katanya lagi.

Teks & Foto:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid

  • Created on .
  • Hits: 888

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024