USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ORANG RAMAI PERLU SEDAR PENYAKIT TUBERCULOSIS (TB) BOLEH MEMBAWA MAUT

IMG 97547895

KUBANG KERIAN, 11 Februari 2016 – Tuberculosis (TB) ataupun batuk kering adalah sejenis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut jika tidak dirawat.

Penyakit yang disebabkan oleh bakteria (Mycobacterium tuberculosis) ini akan menjangkiti paru-paru dan boleh merebak ke bahagian tubuh yang lain seperti tulang, otak, kulit, kelenjar dan sebagainya melalui aliran darah di dalam badan seseorang pesakit.

Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Suhaily Mohd Hairon berkata, penyakit TB merupakan penyakit tertua di dunia yang pertama kali dijumpai di dalam serpihan tulang belakang  mayat orang Mesir sekitar 460 S.M. 

"Penyakit ini merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia di antara tahun 1945 dan 1957 namun melalui Program Kebangsaan Pencegahan Penyakit TB yang dilancarkan pada tahun 1961 telah berjaya mengurangkan kes TB dengan mengadakan program vaksinasi, pengesanan awal dan juga rawatan yang berkesan,” kata Suhaily dalam program bersama radio tempatan di sini pagi ini.

Menurut Suhaily, bakteria TB boleh disebarkan melalui titisan udara iaitu apabila pesakit TB bersin atau batuk kerana mereka akan mengeluarkan berjuta kuman TB ke udara dan orang yang menyedut udara itu akan berisiko untuk dijangkiti TB.

"Jika terdapat tanda-tanda seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu, batuk atau kahak berdarah, demam berpanjangan, berpeluh terutama pada waktu petang atau malam, kurang selera makan, susut berat badan dan mudah letih serta lemah badan hendaklah segera melakukan pemeriksaan pengesan TB di Klinik Kesihatan atau hospital yang berdekatan," ujar Suhaily lagi.

IMG 974586

Tambahnya, terdapat tiga jenis pemeriksaan bagi mengesan penyakit TB iaitu pemeriksaan melalui kahak, pemeriksaan X-ray dada bagi mengesan perubahan pada paru-paru dan melalui ujian 'Mantoux' ataupun tuberculin.

"Ujian 'Mantoux' dilakukan dengan mencucuk sedikit protein tuberculin di bawah kulit pesakit, kemudian selepas tiga hari reaksi yang terdapat pada kulit pesakit akan diukur berdasarkan saiz reaksi ‘melepuh’ dan tindakbalas tersebut  dikira sebagai positif  jika ada kesan melebihi 1 cm pada kulit pesakit,” jelasnya.

Suhaily turut menyatakan sekiranya pesakit TB mematuhi rawatan yang telah ditetapkan oleh doktor, pesakit mempunyai peluang untuk sembuh selain mencegahnya dari menyebarkan kepada keluarga dan orang lain yang berhubung rapat dengannya.

"Pesakit TB yang tidak menghabiskan rawatan boleh menyebabkan penyakit itu berulang dan bakteria TB di dalam tubuh mereka berisiko untuk menjadi kebal terhadap rawatan TB yang sedia ada dan golongan ini adalah antara sebab utama sesetengah pesakit TB sukar untuk sembuh walaupun selepas menerima rawatan," tambah Suhaily.

Teks: Anawiah Abdul Aziz / Foto: Abdul Aziz Latif

  • Created on .
  • Hits: 1724

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024