15 JUDUL BUKU PERUBATAN DILANCARKAN
KUALA LUMPUR, 2 Mei 2013 – Sebanyak 15 judul buku dalam bidang perubatan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dilancarkan oleh pakar mata dan pakar motivasi yang terkenal tanah air, Prof. Dr. Muhaya Hj Mohamad.
Majlis Pelancaran Buku Siri Perubatan ini berlangsung buat kali kedua sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada DBP kerana terus bekerjasama dengan para pensyarah USM dalam merealisasikan penerbitan buku-buku perubatan dalam Bahasa Malaysia yang dapat difahami oleh pelbagai peringkat umur dan bangsa.
“Usaha sebegini harus diteruskan untuk berkongsi ilmu yang ada. Namun cabarannya adalah untuk menggalakkan masyarakat memanfaatkan apa yang telah diusahakan serta mempopularkan ilmu dan mendorong masyarakat budaya membaca,” kata Omar.
Antara tajuk buku yang dilancarkan adalah Kepala Pusing: Memahami Vertigo; 100 Persoalan Mengenai Mata dan Katarak; Merokok: Selangkah ke Alam Kubur dan Andropaus: Kenyataan dan Harapan. Semua buku-buku ini adalah hasil tulisan para pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan juga Pusat Pengajian Perubatan, Kampus Kesihatan, Kelantan.
Turut hadir adalah Ketua Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan dan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Abd Khalik Sulaiman. Teks: Nor Rafizah Md Zain.
- Created on .
- Hits: 1837