USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANJUR BENGKEL PENGURUSAN PESAKIT PENING DAN STROK

IMG 20160205

KUBANG KERIAN, 4 Februari 2016 – Universiti Sains Malaysia melalui Unit Keseimbangan Program Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Pesakit Pening Dan Strok melalui terapi solat.

Bengkel ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan kefahaman kepada warga kerja kesihatan mengenai modul BAL Ex, BAL Ex Stroke dan BAL Ex Physio yang mana ianya merupakan latihan keseimbangan badan yang dicipta oleh beberapa penyelidik USM.

Timbalan Dekan Akademik, Pelajar dan Alumni, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Madya Dr. Wan Rosli Wan Ishak berkata, modul yang dihasilkan ini mampu memberi manfaat kepada para pesakit seluruh Malaysia dan ahli-ahli perubatan yang terlibat.

IMG 20160205 WA0007

"Modul ini menyediakan teknik latihan fizikal bagi meransang otak pesakit yang mempunyai masalah pening untuk pulih sepenuhnya dan yang lebih menarik adalah modul ini turut menekankan kepada terapi solat di dalamnya," katanya ketika merasmikan bengkel tersebut.Tambah Wan Rosli, penciptaan produk seperti BAL Ex Stroke dan BAL Ex Physio ini telah pun diuji, dinilai dan terbukti secara kefungsiannya melalui pengiktirafan yang diterima di peringkat antarabangsa yang memenangi beberapa pingat emas.

Wan Rosli juga turut berharap agar program sebegini boleh diterjemahkan dalam bentuk penjanaan kewangan pada satu hari nanti kerana dengan penciptaan produk inovasi sebegini boleh dilesenkan untuk dijual dan pada masa yang sama, penganjuran program sebegini juga boleh menjana pendapatan kepada Universiti.

IMG 20160205 WA0008

Sementara itu, Penyelia Jururawat, Asiah Daud, 56, berkata beliau telah menghidap sakit pening selama lima tahun dan sering bergantung kepada pengambilan ubat sebagai kaedah rawatan.

"Saya mengikuti bengkel ini kerana ingin mendapatkan maklumat lanjut rawatan latihan fizikal khusus untuk merawat sakit pening kepala dan amat berharap usaha ini akan membuahkan hasil dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan," katanya.

 IMG 20160205 WA0009

Bagi Jururawat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Nor Zarinah Nawawi, 30, memberitahu bahawa tiga atau empat hari dalam seminggu, dia diserangi oleh penyakit pening dan bergantung sepenuhnya kepada pengambilan ubat.

"Sebelum ini, saya tidak pernah dengar tentang rawatan senaman fizikal mampu merawat penyakit pening, setelah hadir program hari ini baru sedar yang adanya rawatan sebegini ditawarkan di Hospital USM. Saya amat berharap melalui rawatan ini dapat memberi kesembuhan kepada saya supaya penyakit pening tidak lagi menggangu tugas saya sebagai jururawat.Bengkel yang berlangsung di Dewan Kuliah C, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dihadiri hampir 200 orang peserta dari seluruh Kelantan.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob

  • Created on .
  • Hits: 1048

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024